• Rahaini menunjukkan perpustakaan keluarga di rumahnya. Rahaini menunjukkan perpustakaan keluarga di rumahnya.
1 /

KERDAU - Sebuah keluarga di sini mengambil inisiatif sendiri untuk membina perpustakaan di rumah bertujuan menerapkan budaya membaca dalam kalangan anak-anak.

Rahaini Idham, 68, berkata, mereka mengambil keputusan untuk mengubahsuai seterusnya menjadikan ruang kosong di bahagian bawah rumah itu sebagai perpustakaan keluarga.

Menurutnya, dia bersama suaminya membina perpustakaan itu supaya mereka sekeluarga dapat membaca pelbagai bahan bacaan bersama dan dalam masa sama memupuk minat membaca dalam kalangan anak-anak.

“Jika mahu anak-anak rajin membaca, ibu bapa perlu menjadi contoh terlebih dahulu. Kita perlu bersama mereka untuk membaca dan mencari pelbagai ilmu.

“Perpustakaan ini dibina suami ketika dia masih sihat. Namun kini, suami saya kian uzur dan tidak lagi berdaya untuk mengendalikan perpustakaan ini,” katanya.

Selain itu, Rahaini berkata, perpustakaan tersebut juga pernah dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan perpustakaan rumah peringkat negeri.

Menurutnya, kemenangan itu adalah kenangan paling indah untuk mereka sekeluarga kerana turut menerima sebanyak 1,500 naskhah pelbagai jenis buku ilmiah.

“Kesibukan menjalankan urusan seharian tidak boleh dijadikan alasan hingga tidak membaca sebarang buku untuk menambah pengetahuan. Jadikan amalan membaca sebagai rutin harian kerana banyak lagi perkara masih belum kita ketahui.

“Kini, kami mahu menerapkan amalan tersebut kepada cucu pula supaya mereka membesar dengan pelbagai ilmu demi kebaikan masa depan,” katanya.