TEMERLOH - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) disaran tidak mengeluarkan permit import kepada pengimport selagi hasil sayur-sayuran seperti cili tempatan masih ada untuk menampung permintaan dalam negara.

Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) Temerloh, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, untuk itu MOA perlu menumpukan kepada hasil sayur-sayuran tempatan dahulu sebelum mengambil langkah membawa masuk cili dari luar negara.

Menurutnya, pengeluaran permit import ketika hasil cili tempatan masih mampu menampung penggunaan negara akan menjejaskan petani tempatan, khususnya usahawan yang melabur berskala besar dan sederhana dalam bidang pertanian moden seperti kaedah fertigasi yang memerlukan kos permulaan yang tinggi.

“Saya sarankan dan minta kerjasama kementerian pertanian supaya tidak mengeluarkan permit import bagi sayur-sayuran tertentu seperti cili, selagi hasil petani tempatan masih mampu menampung permintaan pasaran dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat Pusat Pengumpulan Hasil Petani (PPHP) Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Temerloh di Taman Seri Semantan di sini, semalam.

PPK Temerloh dengan kerjasama PPK Kuala Langat bekerjasama dalam penghantaran hasil pertanian khususnya cili merah hasil petani dari Pahang untuk pasaran Lembah Klang.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Sharkar  berkata, beliau bangga dengan usaha dimainkan PPK Temerloh yang menyediakan sebuah PPHP khusus untuk mereka memasarkan hasil pertanian dari seluruh daerah di Pahang.

Beliau berkata, PPHP Temerloh semalam menghantar lebih 400 kilogram cili merah ke PPK Kuala Langat pada hari pertama operasi PPHP, sekali gus membantu pengangkutan hasil pertanian dari seluruh daerah di negeri ini.

“Saya sudah minta PPK Temerloh mengendalikan projek ini yang mana mereka bekerjasama dengan PPK Kuala Langat untuk memasarkan hasil cili tanpa penglibatan orang tengah.

“Saya difahamkan PPK Kuala Langat membeli hasil cili merah gred B pada harga lantai RM4.20 bagi setiap kilogram dan harga bagi gred A lebih tinggi serta bergantung pada harga pasaran semasa,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BERUAS - Nekad untuk keluar dari kepompong kemiskinan membuatkan bapa kepada enam anak di Kampung Kedah, di sini mengusahakan tanaman cili fertigasi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.