KUANTAN -  Rakyat di negeri ini disarankan supaya melakukan reformasi politik berani dengan memilih pemimpin yang berupaya membawa pembangunan masa depan lebih terjamin.

Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pemimpin yang menerajui negara pada masa kini kurang berkesan dalam menyelesaikan pelbagai masalah yang menghimpit rakyat seperti kenaikan kos sara hidup dan pendidikan.

Menurutnya, melihat kemelut pada hari ini, rakyat perlu bertindak lebih berani dengan membuat perubahan bagi memastikan krisis dihadapi negara ditangani segera.

“Tidak lama lagi kita akan berdepan dengan PRU. Inilah masanya untuk kita ubah kepimpinan, untuk ubah kerajaan rakyat perlu bersatu padu dan turun pada memastikan kita (Pakatan Harapan) menang.

“Sebagai contoh, ada 50 kawasan Parlimen Felda yang dimenangi BN. Kalau kita mampu menggempur kawasan itu dan cuba tawan untuk menang, saya percaya kita mampu menyaksikan kejatuhan Umno menerusi kuasa rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah #LawantetapLawan di pekarangan Pejabat Pusat Khidmat Adun Semambu di sini, malam kelmarin.

Nik Nazmi berkata, PKR menerusi parti gabungan Pakatan Harapan memahami kesengsaraan rakyat disebabkan itu, mereka perlu membantu parti ini untuk menang bagi membolehkan perubahan dilaksanakan.

Katanya, hanya itu jalan keluar sekiranya rakyat mahukan perubahan dan mereka perlu bersama Pakatan Harapan.

“Saya yakin dan percaya, jika bersatu padu, bersatu suara dan tenaga untuk membuat perubahan, kita akan berjaya. Justeru saya minta generasi muda mainkan peranan bantu Pakatan Harapan,” katanya.

Nik Nazmi meminta semua ahli dalam Pakatan Harapan supaya mengatasi perpecahan dan perbezaan  serta membuat perubahan bagi menyelamatkan negara.

Katanya, sekiranya parti gabungan itu bersatu padu, ia secara tidak langsung dapat menguatkan lagi parti tersebut.

“Kita perlu hantar mesej yang cukup jelas kepada rakyat mengenai keadaan negara yang berdepan pelbagai masalah, di samping mahu mewujudkan dasar yang boleh memartabatkan masyarakat,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor mempersoalkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didakwa membuat bayaran RM9.5 juta kepada peguam kes berprofil tinggi, Shafie Abdullah sepertimana yang dilaporkan Sarawak Report Khamis lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.