TEMERLOH – Perusahaan ternakan ikan sangkar khususnya patin di daerah ini berhadapan pelbagai kesukaran kebelakangan ini dengan pelbagai faktor yang mengurangkan margin keuntungan penternak.

Antara faktornya termasuklah kenaikan harga makanan ikan antara RM62 hingga RM65 bagi setiap guni 20kilogram (kg) antara dilema yang dihadapi penternak ketika ini selain faktor semula jadi seperti banjir dan kemarau yang kerap melanda.

Penternak ikan sangkar di Kampung Tanjung Batu, Khairul Anuar Nordin, 25, berkata, masalah utama yang menjadi kebimbangan penternak ketika ini ialah ada pihak tertentu yang membawa masuk ikan patin dari luar dan menjualnya di Temerloh.

Menurutnya, lambakan ikan luar ini menyebabkan pasaran jualan untuk ikan tempatan sangat terganggu lebih-lebih lagi kepada pengusaha yang baharu melabur.

“Kita takut sekiranya ia berterusan akan menjatuhkan kualiti ikan patin sedia ada dan lama-kelamaan akan melumpuhkan perusahaan ini,” katanya.

Sementara itu seorang lagi penternak Basiron Ramli 53, berkata, hasil yang diperoleh dari satu sangkar yang dimasukkan dengan 1,000 benih patin ketika ini tidak sampai 300 kilogram.

Menurutnya, ia berbeza 10 tahun lalu dengan jumlah benih yang sama penternak mampu raih 600 kilogram ikan patin, tidak tahu apa puncanya keadaan semakin teruk sekarang.

“Ada rakan saya yang hanyut lapan sangkar dalam kejadian banjir baru-baru ini, kerugian teruk. Modal RM120,000 untuk 25 sangkar, jualan hanya dapat RM50,000. Dia rugi RM70,000 untuk musim ini.

“Penternak berhadapan dengan faktor cuaca yang tidak menentu dan pelbagai cabaran lain.

"Kita tidak takut saingan sesama penternak kerana masing-masing ada pelanggan tetap tetapi bimbang apabila ada pihak yang membawa masuk ikan luar untuk dijual di sini,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ALOR GAJAH - Dianggarkan 80 peratus penternak ataupun pemilik babi di Paya Mengkuang tidak mengikut syarat yang ditetapkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memohon permit bangunan dari Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).
  • JERANTUT - “Tolonglah jangan banjir tahun ini,” luah penternak ayam kampung di Kampung Paya Garok, di sini, yang sering gusar setiap kali tiba musim tengkujuh.
  • MACHANG - Seorang penternak biri-biri rugi lebih RM10,000 apabila 19 daripada 30 ekor kambing biri-biri peliharaannya hilang dalam kejadian awal pagi tadi di Kampung Paloh Rawa, dekat sini.
  • KUALA SELANGOR - Jeti Kunci Air Buang dicadangkan supaya dijadikan hub udang galah berikutan kawasan Sungai Tengi itu cukup sesuai dan mempunyai ekosistem air tawar semula jadi.