KUANTAN - Seorang peniaga kerugian RM100,000 setelah ditipu bagi urusan sewaan jentera dalam kerja pembinaan di Pelabuhan Kuantan awal tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintenden Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 51 tahun telah membuat persetujuan menyewa 'floating crane' dengan seorang lelaki yang difahamkan sebagai pengurus syarikat pembekal.

Menurutnya, mangsa telah membuat pembayaran pendahuluan sebanyak RM100,000 pada 8 Mac lalu setelah mencapai persetujuan bersama pengurus tersebut dengan nilai sewaan jentera itu pada kadar S$250,000 atau RM750,000 sebulan sehingga projek selesai.

“Suspek mengakui tidak dapat menghantar ‘floting crane’ itu ke pelabuhan pada 12 April lalu setelah mangsa dan suspek bertemu dengan pengurusan tertinggi Pelabuhan Kuantan.

"Mangsa mahu suspek memulangkan semula wang pendahuluan itu, namun suspek memberikan pelbagai alasan dan masih tidak berbuat demikian setakat ini," katanya.

Mohd Wazir berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang pengurus kilang papan mengalami kerugian sejumlah RM 18,000 apabila ditipu kawan yang kononnya mengalami masalah kewangan.

Beliau berkata dalam kejadian itu, mangsa yang berumur 50 mendakwa dihubungi rakan lama bernama Philip pada 3 September lalu yang mahu meminjam wang RM18,000 dan berjanji akan memulangkan semula wang itu pada 4 September.

"Mangsa bagaimanapun tidak menerima semula wang itu dan telah menghubungi nombor telefon lama Philip yang ada padanya. Philip memberitahu dia tidak pernah menggunakan nombor itu dan tidak meminjam wang mangsa.

"Mangsa cuba menghubungi nombor yang digunakan suspek, namun sehingga kini tidak berjaya menyebabkan dia rasa ditipu," katanya.

Dalam kes berlainan, seorang surirumah kerugian RM3,000 yang dikatakan sebagai sogokan untuk melepaskan adik iparnya yang ditahan polis kerana disyaki mencuri kabel dan positif dadah.

“Mangsa yang berumur 30 mendakwa adik iparnya ditahan pada 7 Ogos lalu dan suspek yang merupakan rakan suaminya mendakwa mengenali pegawai penyiasat yang mengendalikan kes tersebut.

"Mangsa menyerahkan wang pada 14 Ogos lalu, namun adik iparnya telah dihantar ke Penjara Penor. Mangsa seterusnya berjumpa dengan pengawai penyiasat dan diberitahu dirinya ditipu," katanya.