KUANTAN - Kehadiran ramai peniaga haram dipercayai warga China di pasar pagi Kampung Jawa di sini, menjejas pendapatan peniaga berlesen.

Pengerusi Persatuan Penjaja Kampung Jawa, Tan Siew Lan berkata, malah peniaga haram berkenaan menggunakan tapak kosong tanpa meminta izin terlebih dahulu.

"Mereka akan masuk berniaga di mana-mana tapak yang mereka rasa ada kosong dan Ini menimbulkan rasa tidak selesa kalangan peniaga tempatan.

"Saya pun hairan macam mana mereka boleh datang berniaga di sini. Bila kita tegur, dia marah saya semula sebab ada di antara mereka yang mendapat permit sementara," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Kehadiran ramai peniaga haram di pasar pagi Kampung Jawa dikatakan menimbulkan ketidakselesaan kepada peniaga tempatan.

Menurutnya, peniaga peniaga haram itu ialah warganegara China yang mampu memberikan persaingan melampau dari segi jualan, kerana kos mereka jauh lebih murah berbanding peniaga tempatan.

"Pasar ini mempunyai 106 lot tapak niaga dan kesemua peniaga yang berdaftar persatuan tertakluk di bawah garis panduan berniaga yang dipantau persatuan.

"Jadi kami gesa pihak berkuasa mengkaji semula pemberian lesen sementara ini bagi tujuan kawalan dan pemantauan dan mengambil tindakan tegas kepada peniaga haram," katanya.

Sementara itu, Siew Lan berkata, persatuan berkenaan sedang memohon dua tapak niaga khas untuk peniaga kurang upaya (OKU) di pasar tersebut berikutan terdapat permohonan daripada pasangan OKU untuk berniaga di situ.