KUANTAN - Dua pengusaha kebun haram di Cameron Highlands dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuantan, di sini, pagi tadi atas tuduhan merasuah penguatkuasa bagi melindungi kegiatan haram mereka dua tahun lalu.

Tertuduh, Chan Kok Fong, 40 dan Law Hee Thiam, 38, mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof.

Bagi Kok Fong, dia didakwa dengan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 manakala Hee Thiam pula satu pertuduhan mengikut seksyen sama.

Mengikut kertas pertuduhan Kok Fong, dia didakwa menawar dan memberi suapan bernilai antara RM1,000 hingga RM20,000 kepada seorang penguatkuasa sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan terhadap kebun diusahakan secara haram dan tanpa permit di Hutan Simpan Ringlet, Cameron Highlands.

Sementara itu, bagi satu pertuduhan Hee Thiam telah didakwa memberi suapan bernilai RM15,000 kepada seorang penguatkuasa sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap kebun yang diusahakan secara haram dan tanpa permit di Hutan Simpan Gunung Siku, Cameron Highlands.

Kesemua kesalahan tersebut dilakukan antara 8 April 2015 hingga 19 Mei 2015 di Coffee House, Hotel Heritage, Tanah Rata, Cameron Highlands.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara hingga 20 tahun dan didenda lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, mahkamah telah membenarkan Kok Fong diikat jamin sebanyak RM10,000 manakala Hee Thiam sebanyak RM5,000 dan menetapkan 3 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ameer Abu Bakar Abdullah.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.