KUANTAN - Pemaju perumahan di negeri ini menyambut baik cadangan kerajaan mengecualikan perkhidmatan pembinaan dan kos bahan binaan daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Bagaimanapun langkah itu dilihat tidak memberi kesan besar kepada penurunan kos pembinaan dan harga rumah.

Bekas Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Pahang, Chua Say Chai berkata, faktor kenaikkan atau penurunan kos pembinaan tidak ditentukan kepada harga bahan binaan semata-mata.

Menurutnya, sesebuah projek perumahan yang dibangunkan bergantung kepada harga yang ditetapkan kontraktor.

“Kita tidak boleh turunkan harga kontrak sewenang-wenangnya terutama bagi projek perumahan yang sedang berjalan.

“Tetapi bagi projek baharu yang mungkin berjalan selepas perlaksanaan SST ini, kita juga kena lihat kepada harga yang ditawarkan kontraktor.Jika lebih rendah, jadi kos pembinaan juga akan kurang dan harga rumah juga berkemungkinan dapat diturunkan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan umum kos bahan binaan bebas SST ]

Beliau yang juga Pengarah Urusan Ming Hooi Development Sdn Shd berkata, harga rumah juga sebenarnya masih bergantung kepada penawaran dan permintaan.

“Jika permintaan masih tinggi, harga rumah akan kekal atau naik sebaliknya jika permintaan kurang, mungkin pemaju akan kurangkan harga sebagai strategi jualan.

“Jadi saya fikir impak daripada pengecualian SST kepada bahan binaan ini  tidak memberi kesan besar kepada penurunan harga rumah..kalau turun pun peratusannya amat kecil,’katanya

Bagaimanapun beliau berkata, cadangan pengecualian SST itu  baik dan membuktikan langkah kerajaan dalam memastikan harga rumah terkawal bagi memberi peluang kepada rakyat untuk memiliki kediaman.