• Pemilihan Umno
1 /

KUANTAN - Sembilan daripada 14 Bahagian Umno Pahang kekal menyaksikan pertandingan merebut jawatan ketua bahagian selepas tempoh 72 jam penarikan diri sebagai calon tamat 5 petang semalam.
    
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Pahang Datuk Seri Abdul Jabbar Ibrahim berkata sembilan bahagian itu ialah Kuantan, Maran, Jerantut, Raub, Paya Besar, Indera Mahkota, Bera, Kuala Krau dan Cameron Highlands
    
"Pada hari pendaftaran calon Sabtu lepas, calon di lima bahagian sahaja yang menang tanpa bertanding bagi jawatan ketua bahagian iaitu Pekan, Temerloh, Bentong, Lipis Dan Rompin," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
    
Bagi Cameron Highlands, penyandang Datuk Wan Rosdy Wan Ismail dicabar anggota Umno bahagian itu, Wan Rahaimin Wan Mustapha.
    
Penyandang Ketua Umno Bahagian Raub, Datuk Shahiruddin Ab Moin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usahawan Koperasi dan Kepenggunaan Pahang dicabar anggota bahagian itu Mohd Ghazali Kamaruzaman.
    
Penyandang bahagian Jerantut Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar dicabar Ketua Penerangan Bahagian itu Ahmad Nazlan Idris yang juga anggota Parlimen Jerantut.
    
Bagi Bahagian Kuantan, penyandang Datuk Wan Adnan Wan Mamat dicabar anggota Jawatankuasa (AJK) Bahagian itu Ab Mutalib Shamsuddin dan Bahuri Geran (Ketua Cawangan Bandar Kuantan Pusat).
    
Di Bahagian Paya Besar, penyandang Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman ditentang AJK Bahagian Datuk Abdul Manan Ismail yang juga anggota Parlimen Paya Besar.
    
Di Maran, Pemangku Ketua Bahagian itu Datuk Ismail Abd Muttalib yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia dicabar Setiausaha Barisan Nasional Pahang Muhamad Abdullah dan AJK Bahagian Maran Ismail Mat Resat.
    
Di Kuala Krau, penyandang Datuk Ismail Mohamed Said dicabar anggota bahagian itu Nik Affendy Nik Abdul Rashid.
   
Di Bera, penyandang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dicabar Ketua Pemuda Bahagian itu Datuk Mohd Azizan Che Omar.
    
Bagi Indera Mahkota, pertandingan tujuh penjuru kekal apabila penyandangnya Datuk Mohd Hazmi Yusof dicabar Setiausaha Umno negeri Datuk Abdul Rahim Abas; Bendahari Umno negeri Ngah Ismail; dan Pengerusi Veteran Umno Indera Mahkota Shahrom Zainuddin.
    
"Calon lain ialah Ketua Cawangan Indera Mahkota 16 Datuk Mustaffa Kamal Abdul Hamid; Ketua Cawangan Indera Mahkota 6 Abdullah Syukur; dan Naib Ketua Umno Bahagian Mahasan Hussain," katanya.       
    
Beliau berkata sebanyak 38 calon menarik diri untuk pemilihan Umno bulan depan.
    
Berdasarkan keputusan itu, katanya, hanya 2,600 daripada 2,638 calon yang menghantar borang pencalonan di Pahang kekal bertanding dalam semua jawatan. - Bernama