• Rumah PPRT Kampung Kempadang yang mengundang kekecewaan penduduk setempat kerana tidak berpeluang menjadi peserta. Rumah PPRT Kampung Kempadang yang mengundang kekecewaan penduduk setempat kerana tidak berpeluang menjadi peserta.
1 /

KUANTAN - Sebahagian penduduk Kampung Kempadang kecewa apabila tidak tersenarai sebagai peserta Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) yang menempatkan kira-kira lapan rumah di kampung berkenaan, dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kempadang, Shaudi Abdullah, 48, mendakwa, pembinaan PPRT Kampung Kempadang menimbulkan pelbagai masalah berikutan tindakan pihak bertanggungjawab yang membelakangkan sebahagian penduduk setempat yang sepatutnya menjadi peserta.

Menurutnya, bermula dari pembinaan, siap dan pemilihan peserta, pemimpin peringkat kampung dan penduduk langsung tidak dimaklumkan sama ada berpeluang atau sebaliknya.

“Biasanya ketika pembinaan atau telah siap, selaku ketua kampung seharusnya diberitahu untuk melihat sama ada penduduk di kawasan tersebut ada yang perlu diberikan peluang menjadi peserta PPRT.

“Sebaliknya ia tidak berlaku di PPRT Kampung Kempadang, malah telah menempatkan peserta yang berada di sekitar Kuantan, bukan sahaja miskin tetapi ada antara mereka hanya merupakan mangsa banjir,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Shaudi berkata, pihaknya sudah mengenal pasti tiga keluarga di kampung terbabit yang memang layak dipindahkan ke rumah PPRT itu.

Katanya, tempat tinggal keluarga tersebut begitu daif tanpa tandas dan bekalan elektrik, malah kedudukan rumah mereka terletak di kawasan bahaya.

“Bagi menempatkan mereka yang layak ini, bukannya melibatkan semua rumah tetapi cukup sekadar ada beberapa unit yang disediakan untuk penduduk di sini.

“Memandangkan PPRT dibina di kampung ini, sepatutnya ia menjadi peluang keemasan kepada kami membantu mereka yang benar-benar layak mendapatkan rumah baru lebih selesa untuk didiami berbanding rumah sekarang,” katanya.

Sehubungan itu, penduduk berharap pihak Kerajaan Negeri dan agensi bertanggungjawab memberi perhatian perkara itu supaya mereka yang layak tidak terpinggir.

Shaudi berkata, pihak berkenaan perlu memikirkan cara untuk menempatkan tiga keluarga di kampung terbabit yang begitu memerlukan bantuan rumah tersebut.

“Masalah tidak akan timbul sekiranya mereka diberi rumah PPRT, memandangkan mereka antara keluarga yang terpilih dari peringkat awal penyenaraian pihak JKKK.

“Mungkin selepas ini ada penambahan rumah PPRT yang boleh dibina dalam kawasan yang masih berbaki atau sebagainya,” katanya.