FELDA CHEMOMOI – Pasar Awam Chemomoi di Felda Chemomoi, di sini, yang siap dibina 15 tahun lalu tidak dapat digunakan sebagai satu kemudahan awam sehingga hari ini menyebabkan pembinaannya dilihat sebagai sia-sia.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Felda Chemomoi, Abdul Ghani Taib berkata, keadaan bangunan pasar dua tingkat itu buruk dan terbiar serta tidak mampu memberi kemudahan kepada masyarakat setempat sekali gus boleh dianggap sebagai projek 'gajah putih'.

Menurutnya, pada peringkat awal kewujudannya, pasar itu mampu memberi gambaran terdapat pembangunan di kawasan berkenaan, terutama dari segi kemudahan awam, lebih-lebih lagi pembinaan melibatkan kos berjuta ringgit.

"Namun ternyata ia sia-sia. Apa yang mengecewakan kita adalah kegagalan pihak bertanggungjawab memastikan operasi pasar awam itu berjalan lancar.

"Dengan kos begitu tinggi, iaitu RM4 juta, pembinaan pasar yang begitu cantik tetapi terbiar sememangnya merugikan. Saya harap pihak berkaitan atasi segera masalah ini agar tak timbul rungutan," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Ghani berkata, sudah banyak kali pihaknya membuat aduan kepada pihak berkaitan berhubung isu tersebut tetapi tiada sebarang tindakan diambil sehingga kini.

Seorang penduduk yang ditemui, Md Jidi Zainal, 70, berkata, dia bimbang andainya bangunan terbiar itu menjadi lokasi belia melakukan aktiviti tidak berfaedah seperti penyalahgunaan dadah.

"Kawasan tandas dan bilik stor macam tempat buang sampah. Bahagian bumbung menjadi tempat burung bersarang. Saya harap sangat agar ada pihak cuba mengetengahkan perkara ini bagi mengatasi pembaziran," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • NILAI - Penduduk di Taman Desa Cempaka meminta pihak berkuasa tempatan melakukan sesuatu terhadap bangunan pasar baharu yang dianggap sebagai projek ‘gajah putih’ .
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.