KUANTAN - Gangguan bekalan air di beberapa kawasan di daerah ini sejak bulan lalu akan pulih selepas kerja-kerja pembinaan ban di Sungai Kobat, dijangka siap minggu ini.

Adun Teruntum, Sim Chon Siong berkata, kerja-kerja pembinaan ban baharu menggantikan ban sedia ada yang pecah hingga menyebabkan paras anak sungai di Sungai Kobat menyusut sedang dalam proses terakhir pembinaan.

Menurutnya, paras air hampir pulih dengan ketinggian terkini dicatatkan sudah mencapai 2.10 meter berbanding hanya 0.7 meter sebelum ini.

“Kerja-kerja pembinaan ban yang membabitkan tambakan sepanjang 75 meter dan lapan meter lebar itu  berjalan lancar mengikut kemajuan kerja dan sudah hampir siap.

“Sebelum ini pembinaan ban yang dianggarkan menelan kos RM3 juta itu dijangka siap esok (hari ini) namun setakat ini mereka masih menyempurnakan kerja-kerja akhir yang tinggal lebih kurang lima peratus sahaja lagi.

“Saya rasa puas hati dengan tahap peningkatan pembinaan ban ini selepas pihak berwajib terutama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melakukan tindakan cepat sejak 25 Januari lalu,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita ketika membuat lawatan singkat ke lokasi kejadian untuk melihat perkembangan pembinaan ban tersebut, di Sungai Kobat, di sini, semalam.

Ban tersebut pecah disebabkan tekanan air kuat  akibat hujan lebat awal Januari lalu.

Jarak ke lokasi sejauh satu kilometer dari Perkampungan Bukit Rangin itu mengambil masa hampir setengah perjalanan kerana jalan berliku dan terpaksa mengharungi tanah merah.

Dalam pada itu, menurutnya, sebelum ini paras air di ban tersebut tidak mencapai tahap normal, pam tidak dapat beroperasi dengan baik untuk menyalurkan sumber air mencukupi untuk penduduk di daerah ini ketika kejadian benteng tanah yang telah pecah itu berlaku.

“Pam hanya boleh beroperasi bila air berada paras paling minima 0.8 meter dari ban tersebut dan ia pasti tidak akan menyebabkan berlaku sebarang gangguan bekalan air.

“Jika kurang 0.7 meter air, pam tidak dapat beroperasi dan gangguan air akan berlaku, tapi hari ini kita dapat lihat bekalan air dilaksanakan secara bergilir-gilir,” katanya.

Sementara itu, katanya, ban tersebut amat penting disiapkan segera bagi memastikan bekalan air dapat ditakung dan mencukupi untuk disalurkan kepada seluruh warga Kuantan terutama menjelang perayaan Tahun Baru Cina ini.

“Kawasan ini telah dibina sejak tahun 1985 dan sepatutnya ada jabatan khas yang dilantik bertanggungjawab pemantauan secara berskala bagi mengelak kejadian tidak diingini masih berulang.

“Namun begitu, kita juga berharap agar kawasan pembinaan ban itu ditambah baik dengan benteng menyeluruh supaya tiada kejadian tanah runtuh,” katanya.