KUANTAN - Kerajaan disaran menyediakan aset laut yang boleh digunakan bagi jangka masa panjang dan lebih canggih dalam usaha Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menjaga perairan negara ini.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, keselamatan perairan perlu diberi perhatian kerana melibatkan hal keselamatan rakyat keseluruhannya.

Titahnya, kelengkapan yang baik memberi keyakinan kepada anggota dan pegawainya berhadapan serta menyelesaikan jenayah rentas sempadan.

"Situasi  tidak dijangka juga berlaku secara berterusan dan pastinya pasukan keselamatan memerlukan banyak latihan dalam membantu operasi berjalan pantas dan cekap.

"Justeru, kehadiran Maritim Malaysia amat penting. Seiring dengan itu keperluan pemilikan aset yang canggih dan terbaik perlu ketika mereka bertugas," titahnya.

Baginda bertitah di Majlis Santapan Beradat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang bersama Maritim Malaysia di Hotel Zenith, di sini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Ketua Pengarah Maritim Malaysia; Laksamana Maritim Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar, dan Pengarah Maritim Wilayah Timur; Laksamana Pertama Maritim Datuk Zulkarnain Mohd Omar.

Dalam pada itu, baginda bertitah, Maritim Malaysia perlu bertindak proaktif menjaga perairan termasuk kepentingan nelayan negara ini.

"Saya dimaklumkan terdapat banyak pencerobohan bot asing di perairan negara kita...kita boleh nampak banyak bot-bot asing tersadai di sini.

"Operasi Maritim Malaysia sangat penting untuk mengusir atau menangkap mereka.

"Kita ada hak di perairan sendiri...kalau tak dapat jaga maka susah untuk rakyat kita (nelayan) turun ke laut sekaligus menyebabkan hasil negara juga akan berkurangan," titahnya.

Sementara itu, baginda begitu menghargai usaha dan tugas murni Maritim Malaysia menjaga dan mengawasi kawasan perairan negara sejak penubuhannya, 13 tahun lalu.

"Saya bangga dengan usaha keras pasukan ini yang sentiasa mempertingkatkan kesiapsiagaan dan kewibawaan mereka dalam menjalankan tugas termasuk pantas dalam memberi bantuan kecemasan pada waktu memerlukan.

"Tahniah...kerana cukup menyerlah pada mata masyarakat khususnya di saat mereka memerlukan dalam apa cara sekali pun baik di pulau, kapal mahupun laut, " titahnya.