KUANTAN  - Pendapatan pemandu teksi di sini terjejas terus sejak kebelakangan ini dan ia ibarat kais pagi makan pagi buat mereka yang masih menjadikan kerja itu sebagai sumber pendapatan utama.

Itu belum lagi perkhidmatan Uber atau GrabCar dilaksanakan sepenuhnya di bandar ini.

Bagi Mat Nawi Ismail,  58, dia yang sudah  lebih 30 tahun membawa teksi mengakui pendapatannya kini jauh menurun.

Menurutnya, jika beberapa tahun lalu, dia mampu memperoleh RM100 sehari tetapi kini hanya RM30 hingga 40 sehari.

“Pemandu teksi sekarang ibarat kais pagi makan pagi. Kadang-kadang duit yang dapat cukup-cukup untuk isi minyak.

“Tambang yang kami kenakan tak mahal. Dari Balok ke bandar hanya RM5,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, dia hanya bertahan dengan situasi sekarang namun tidak dapat menjangka keadaan apabila perkhidmatan Uber dan GrabCar dilaksanakan sepenuhnya di sini.

Bagi Mutalib Mohd Zinon, 44, dia mula menjadi pemandu teksi pada tahun 1990 dan mengakui sejak beberapa tahun ini sukar untuk mencari makan.

Katanya, persaingan dengan pengangkutan awam yang lain membuatkan pendapatan terjejas teruk sehingga 30 peratus.

“Hari-hari keluar, tapi pendapatan hanya cukup-cukup makan saja. Saya risau masa depan pemandu teksi dan kereta sewa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Perhubungan Wilayah Timur Pertubuhan Teksi/Kereta Sewa Se-Malaysia, Jefri Jaafar berkata, kerajaan seharusnya membuat kajian mendalam sebelum memberi kebenaran kepada Uber dan GrabCar untuk beroperasi.

Katanya, dakwaan mengatakan pemandu teksi menipu tambang adalah kes terpencil yang berlaku.

“Di Kuantan, di setiap pangkalan teksi disediakan senarai harga tambang untuk dirujuk pelanggan,” katanya.

Mengenai dakwaan mengatakan pemandu teksi tidak mengikuti peredaran zaman, Jefri menafikan perkara itu kerana  pemandu teksi juga mempunyai cara tersendiri.

Katanya, ada pemandu teksi mempunyai pelanggan tetap dihubungi melalui aplikasi WhatsApp.

“Ini bukan soal perubahan zaman tapi soal peluang pemandu teksi untuk mencari makan.

“Justeru, saya harap kerajaan tidak terburu-buru membuat keputusan membenarkan pelaksanaan Uber dan GrabCar ini,” katanya.

Dalam pada itu katanya, kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz itu bahawa pemandu teksi menjejaskan imej pelancongan, adalah keterlaluan.

Katanya, masih banyak faktor lain yang menjejaskan industri pelancongan seperti isu alam sekitar seperti yang berlaku di sini.

Sebelum ini, Mohamed Nazri berkata, Kabinet memutuskan untuk tidak mengharamkan perkhidmatan Uber dan GrabCar di negara ini bagi mempertingkatkan industri pelancongan negara.