KUANTAN - Seorang pemandu maut manakala penumpangnya terselamat selepas kereta dinaiki mereka melanggar belakang sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 91,  Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) arah Kuala Lumpur dekat Lanchang, Temerloh awal pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 12.40 tengah malam itu, mangsa, Abdul Ghani  Bahari, 56 dari Kampung Padang Balang,  Sentul ,Kuala Lumpur cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpang kereta jenis Honda Accord itu,  Gumbang Anak Jambit, 38 , beralamat di Pandan Jaya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Mohd Noor Yusof Ali berkata, pemandu lori yang dirempuh kereta mangsa, Asmar Rani

Omar, 46 dari Felda Kota Gelanggi 3, Jerantut dan kelindannya, Othman  Abu, 55 dari Taman Mentakab, Temerloh tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, kereta dipandu mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori Syarikat Bekalan Air Selangor dipercayai dalam perjalanan menghala ke Kuala Lumpur bersama seorang penumpang.

Katanya, ketika sampai di lokasi kejadian, mangsa dipercayai cuba memotong lori jenis Volvo dipandu  Asmar Rani yang berada di lorong kiri.

“Ketika mangsa cuba memotong dengan mengubah haluan ke sebelah kanan, dipercayai ada sebuah kenderaan lain di laluan itu menyebabkan dia terpaksa masuk kembali ke lorong sebelah kiri dan ekoran jarak terlalu dekat, kereta dipandunya melanggar belakang lori di hadapannya.

“Berikutan rempuhan itu, mangsa yang tersepit dalam kenderaannya yang remuk disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpangnya, seorang kakitangan bahagian teknologi maklumat sebuah bank terselamat,”katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mohd Noor berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kemalangan berlaku di laluan dua hala dan keadaan gelap tanpa lampu jalan.

“Punca kemalangan masih dalam siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, susulan panggilan kecemasan diterima berhubung kejadian, enam anggota dari Balai Bomba Mentakab diketuai Komander Operasi, Tajudden Ibrahim dikerah ke lokasi untuk bantuan menyelamat.

Menurutnya, pihaknya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - Sebanyak 357 kemalangan dicatatkan berlaku di negeri ini sepanjang Op Selamat 11/2017 sehingga semalam sempena Hari Raya Aidilfitri diadakan bermula 18 Jun lalu.
  • KUALA LIPIS - Hasrat tujuh sekeluarga untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut Aidilfitri di Kelantan bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut dalam kejadian kemalangan kira-kira jam 11.30 pagi tadi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.