KUANTAN - Seorang pelajar tahfiz maut, manakala dua lagi rakannya cedera parah setelah kereta dinaiki mereka melanggar besi penghadang jalan di Kilometer 37, Lebuhraya Central Spine Road berdekatan Aur Gading di Lipis, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Superintendan Azry Akmar Ayob berkata mangsa yang maut ialah penumpang belakang, Wan Arsyad Rafiuddin Wan Azeze, 13, berasal dari Kampung Lundang, Kota Bharu, Kelantan.

"Dua lagi penumpang warga Thailand, Subhi Yamu, 13, dan Simi-un Hasunoh, 14, masing-masing cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi di sini ini.

Pemandu kereta itu, Mohd Shaiful Anuar Abd Rahman, 34, berasal dari Kampung Jambu, Kelantan, hanya cedera ringan, manakala anak lelakinya Mohd Zakir Azkar Mohd Shaiful Anuar berusia dua tahun tidak mengalami kecederaan.

Azry berkata kejadian berlaku pada jam 6.30 petang ketika kesemua mangsa dalam perjalanan pulang ke Tahfiz Darul Furqan di Sungai Buloh, Selangor dari Kelantan.

Beliau berkata sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dipandu Mohd Shaiful dipercayai melanggar lopak air menyebabkan kenderaannya terbabas melanggar besi penghadang jalan.

"Ketika kejadian keadaan hujan dan jalan basah," katanya.

Beliau berkata sepasukan lapan anggota dan seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lipis tiba di tempat kejadian pada jam 6.39 petang, dan mengambil masa setengah jam untuk mengeluarkan mayat mangsa. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PUCHONG - Dua remaja parah selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 15.7, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) dari arah Saujana Putra ke Shah Alam, di sini, pagi tadi.
  • MERSING - Seorang lelaki maut di tempat kejadian dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di KM 11 Jalan Jemaluang-Mersing awal pagi tadi.
  • KLUANG - Seorang bapa sedia memaafkan penunggang motosikal yang melanggar anak lelakinya, Muhammad Furqan Danial Md Fadzli, 2, di hadapan rumahnya di Jalan Intan 4/5, Taman Intan, di sini, 7 November lalu.
  • KOTA BHARU - Malang tidak berbau. Demikian nasib yang menimpa Mohd Fakhrul Muzammil Abdullah, 12, setelah maut dirempuh kereta yang masuk ke bengkel motosikal di Kampung Pak Badol, Bachok, kelmarin.
  • SEREMBAN - Seorang wanita nyaris maut apabila kereta yang dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam cenuram sebelum tersangkut di sebatang pokok dalam kejadian berhampiran Klinik Kesihatan Linggi, Port Dickson tengah hari tadi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.