KUANTAN - Seorang pekerja ladang mengalami kerugian RM1,400 selepas terperdaya dengan panggilan palsu yang diterima daripada sebuah bank pada Khamis lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa, 44, telah menerima panggilan telefon yang memperkenalkan diri sebagai Ahmad daripada sebuah bank di Kuala Lumpur dan mendakwa mangsa ada membuat pinjaman peribadi sebanyak RM30,000 dengan cawangan bank berkenaan di Terengganu.

"Setelah percaya, panggilan mangsa telah disambungkan ke Balai Polis Terengganu dan pengadu bercakap dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai sarjan yang mendakwa mangsa telah terlibat dengan kes jenayah berat.

"Selepas itu, sarjan berkenaan meminta pengadu bercakap dengan pegawai atasannya yang kemudian memintanya mencari penjamin selain mengarahkannya memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun untuk wang jaminan mahkamah," katanya yang dihubungi di sini, hari ini.

Susulan itu, Wazir berkata mangsa telah pergi ke sebuah bank di Mentakab dan memasukkan RM1,400 ke dalam akaun yang diberi oleh suspek.

Katanya, mangsa kemudian cuba menghubungi semula suspek namun gagal sebelum menyedari telah diperdaya dan membuat laporan polis, semalam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JOHOR BAHRU - Seorang remaja lelaki ditahan polis kerana membuat laporan palsu kononnya dia disamun dua lelaki tidak dikenali ketika berjalan kaki di sebuah jejantas di Senai, di sini, malam tadi.
  • KOTA BHARU - Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa di sini gempar apabila turut menerima panggilan ancaman bom di sini kira-kira jam 11.40 pagi.
  • IPOH - Sebuah bank di Jalan Seenivasagam di sini terpaksa dikosongkan selepas kakitangannya menerima panggilan palsu yang mendakwa bom akan dipasang di bangunan itu.
  • SEREMBAN - Kakitangan dan orang ramai yang berurusan di bangunan Perbadanan Kemajuan Negeri Sembilan (PKNNS), di Seremban 2, dekat sini dikejutkan dengan penggilan bom palsu yang dibuat seorang lelaki, pagi semalam.