BERA - Seorang pekerja kontrak warga asing dikhuatiri lemas ketika menyeberangi Sungai Bera, di sini semalam.

Ketika kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa  yang belum dikenal pasti identitinya, terjun ke dalam sungai untuk ke sebuah pencawang elektrik .

Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Zon Temerloh Dua, Mohd Shahairi Rahadi berkata, mangsa adalah individu ketiga yang cuba menyeberangi sungai itu selepas dua rakannya berjaya berbuat demikian.

“Ketika kejadian, mangsa bersama empat rakannya membuat kerja di pencawang elektrik dan baru selesai menjalankan kerja di pencawang lain sebelum sampai ke sungai itu.

“Dua daripada mereka berjaya menyeberanginya namun mangsa tidak berjaya dan dipercayai lemas,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 11.30 pagi dan sebuah bot aluminium serta jentera dengan kekuatan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Triang tiba di lokasi kejadian pada kira-kira jam 11.55 pagi. Sehingga jam 5 petang semalam, mangsa belum ditemui.