JERANTUT FERI - Kebanyakan pekebun di kawasan Pulau Tawar dan Kampung Paya Garuk di sini, tidak lena tidur kerana bimbang memikirkan nasib kebun mereka yang mukin dimusnahkan sekumpulan gajah liar yang dilihat aktif berkeliaran sejak kebelakangan ini.

Bagi pekebun yang pernah melalui saat sedemikian beberapa kali, mereka sudah mula berputus asa untuk memulakan kembali tanaman mereka yang musnah sebelum ini.

Ini termasuklah salah seorang pekebun di Kampung Paya Garuk, Mat Rashid Mat Dahari, 65, yang telah beberapa kali mengalami kerugian akibat kebunnya dimusnahkan kumpulan gajah liar sejak tahun lalu.

Terbaharu pada Rabu lalu, kumpulan terdiri daripada 11 ekor gajah liar sekali lagi memusnahkan 20 anak pokok kelapa yang baru di tanam selain memusnahkan serumpun buluh lemang, pokok kelapa dan cempedak yang telah besar.

Bukan itu sahaja, dia juga bimbang keselamatan keluarganya apabila kumpulan gajah liar terbabit masuk kira-kira 20 meter dari kawasan rumahnya yang didiami bersama isterinya, Rohani Daud, 53.

Difahamkan kumpulan gajah liar itu mula memasuki kawasan sekitar rumah penduduk bermula jam 8.30 malam Rabu lalu dan beredar sekitar jam 7 pagi keesokan harinya.

Turut terjejas dalam kejadian yang sama ialah seorang pekebun, Mohd Raduan Sallehudin, 38, di mana sebanyak 30 pokok sawit dan 10 pokok getah dimusnahkan hidupan liar berkenaan.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Jerantut Feri, Mohd Ramli Jaafar berkata, kali terakhir Kampung Paya Garuk dimasuki gajah dua bulan lalu iaitu sehari sebelum Aidilfitri.

“Sebelum hari raya itu hanya seekor sahaja gajah yang mungkin terkeluar dari kumpulannya masuk ke kawasan kampung dan tidak mendatangkan kerosakan yang ketara. Kali terakhir diserang kumpulan gajah sebelum puasa hari tu dan sehinggalah Rabu lalu. Kampung ini sekali lagi didatangi kumpulan gajah liar ini,” katanya.

Penduduk Kampung Paya Garuk membakar tayar bagi menghalau kumpulan gajah liar.

Menurutnya, penduduk kampung sudah buntu memikirkan jalan penyelesaian terbaik bagi memastikan kumpulan gajah liar itu tidak lagi memasuki kawasan kampung dan memusnahkan tanaman penduduk.

“Selain segera memanggil pihak Perhilitan, kami turut menghalau gajah dengan membaling mercun dan membakar tayar. Sejurus selepas kejadian, pihak Perhilitan segera datang meninjau keadaan. Justeru kami penduduk kampung merakamkan setinggi penghargaan atas keprihatinan pihak Perhilitan ini,” katanya.

Sinar Harian difahamkan kumpulan gajah liar terbabit dipercayai kumpulan sama menyerang kebun milik penduduk di sekitar Pulau Tawar, bulan lalu.

$content.code.value
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PEDU - Penduduk Bukit Jaba, Mukim Pedu di sini semakin resah apabila kawasan dusun mereka menjadi sasaran gajah liar sejak April lalu.
  • PADANG TERAP - “Semasa saya sedang menebas rumput di kebun buah saya, tiba-tiba saya terdengar bunyi tempikan gajah dan tapak kaki dari kawasan hutan berdekatan.
  • JERANTUT - Lebih 1,000 penduduk di tiga kampung di daerah ini diancam serangan 11 ekor gajah liar sejak seminggu lalu menyebabkan lebih 50 hektar kawasan kebun pisang dan kelapa sawit mereka turut musnah.
  • GUA MUSANG - Sebuah rumah milik Orang Asli di Pos Keled, di sini, musnah selepas sekumpulan gajah liar menyerang dalam kejadian beberapa minggu lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.