JENGKA - Seorang pejalan kaki maut dirempuh sebuah motosikal dalam kejadian kemalangan di Jalan Perkampungan Felda Kesidang Jengka 8 Berdekatan Masjid Jengka tersebut di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa Samsiah Abdullah, 54, yang merupakan suri rumah meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala, penunggang motosikal berusia 13 tahun, tiada kecederaan.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Mazlan Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi tersebut, hasil siasatan awal dijalankan mendapati kemalangan berlaku apabila penunggang motosikal dalam perjalanan dari rumahnya hendak ke Masjid Jengka 8 untuk meletakkan motosikal sebelum menaiki bas ke sekolah di Bandar Jengka.

"Apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba pejalan kaki (Samsiah) melintasi jalan dari warung sebelah kanan ke kiri jalan. Oleh kerana jarak yang terlalu dekat penunggang motosikal tidak sempat membrek lalu merempuh pejalan kaki tersebut menyebabkan mangsa tercampak ke sebelah kanan jalan manakala penunggang motosikal tercampak ke atas longkang sebelah kiri jalan.

"Samsiah maut di tempat kejadian dan mayat mangsa di bawa ke Hospital Jengka untuk tujuan bedah siasat," katanya.

Mazlan berkata, tempat kejadian merupakan jalan lurus satu lorong dua hala di kawasan perumahan sementara cuaca masih berkabus kerana kejadian berlaku di awal pagi.

"Kemalangan berlaku disebabkan kecuaian pejalan kaki yang melintas jalan tanpa menyedari kenderaan lain yang melalui jalan tersebut.

"Kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 di bawah siasatan Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Shafiq Azril Adlan," katanya.

$content.code.value
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.