KUANTAN - Berpegang kepada prinsip ikhlas demi reda ALLAH dalam setiap usaha dakwah dilakukan, beliau tidak pernah mengharapkan balasan sebaliknya segala yang dilakukan dianggap sebagai amanah dalam memartabatkan syiar Islam.

Bagi Ustaz Nik Ibrahim Nik Abdullah, 51, beliau terlibat dalam usaha dakwah sejak tahun 1987 dan dalam tempoh 31 tahun  pelbagai cabaran telah dihadapinya, namun segala halangan dan dugaan itu langsung tidak melunturkan semangatnya.

Beliau yang kini bertugas sebagai Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau, Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) mengakui, ada kalanya dalam kerja dakwah dilakukan menuntut kepada pengorbanan.

"Bagi saya itu sebahagian cabaran namun usaha ini perlu diteruskan biarpun berat. Paling penting segala yang dilakukan kerana ALLAH,” katanya.

Beliau yang juga pendakwah bebas sering mengikuti program dakwah ke kampung-kampung Orang Asli di pedalaman negeri ini termasuk bersama pegawai Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Dakwah Orang Asli

Menurut anak kelahiran Kuala Rompin ini, usaha dakwah kepada golongan bukan Islam termasuk masyarakat Orang Asli giat dijalankan pelbagai pihak bagaimanapun baginya, usaha itu tidak cukup sekadar itu.

Sebaliknya ia memerlukan kepada tindakan susulan yang berterusan.

"Bila kita adakan program dakwah dengan masyarakat Orang Asli, ia perlu disusuli dengan tindakan susulan supaya mereka tidak terabai atau dibiarkan selepas program itu.

"Pada masa sama, program-program kecil secara berkala perlu juga diteruskan supaya ilmu-ilmu agama dan kebenaran Islam dapat terus disampaikan,” katanya.

Beliau juga turut menekankan kepada konsep dakwah digunakan perlu menggunakan kaedah lembut dan mudah.

"Tak bolehlah kita nak bawa atau bercerita tentang hukum hakam yang berat-berat pada peringkat awal dan pendekatan digunakan perlu juga disesuaikan bergantung kepada peringkat usia mereka,” katanya.

Ustaz Nik Ibrahim yang sering diundang sebagai panel program agama di televisyen, radio dan menyampaikan ceramah agama di masjid dan surau di negeri ini dan luar sentiasa ambil berat tentang pendekatan dakwah yang digunakan supaya ia lebih berkesan.

"Tak guna kita tinggalkan keluarga berminggu-minggu untuk keluar berdakwah kalau pendekatan yang kita gunakan tak mampu melembutkan kumpulan sasar dekati dan mengenali Islam,” katanya.

NIK IBRAHIM

Keluarga beri dorongan

Sebagai penjawat awam yang terikat dengan tugas hakiki, Ustaz Nik Ibrahim mengakui dia perlu pandai bahagikan masa.

"Sekiranya ada keperluan atau ada jemputan ceramah pada waktu bekerja, sudah tentu saya kena dapatkan kebenaran majikan dan jika sebelah malam saya juga aturkan sebaik mungkin jadualnya supaya tersusun.

"Kena juga ambil kira tanggungjawab dan masa bersama keluarga,” kata bapa kepada empat anak ini.

Beliau yang pernah mendampingi tokoh agama tersohor termasuk Datuk Ismail Kamus dan Allahyarham Datuk Dr Haron Din berkata, jadual hariannya agak padat apabila sering mendapat jemputan menyampaikan ceramah agama.

Dalam memenuhi undangan itu beliau menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa penceramah sepertinya mengambil kesempatan meletakkan harga setiap kali dipanggil berceramah.

"Semua itu tak betul, kita tak letakkan harga dan sumbangan yang dihulurkan terpulanglah kepada pihak penganjur,” katanya.