KUANTAN - Pas mengumumkan 54 calon parti itu yang akan bertanding di 14 kerusi Parlimen dan 40 kerusi Dun di negeri ini.

Pengumuman itu dibuat Pesuruhjaya Pas negeri, Rosli Abdul Jabar pada Majlis Pengisytiharan Calon Pas-Gagasan Sejahtera Negeri Pahang di Padang Awam Cenderawasih di sini, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bagi kerusi Parlimen, Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan yang juga penyandang Ahli Parlimen Temerloh diumumkan sebagai calon di Parlimen Indera Mahkota dan Naib Yang Dipertua Pas Pekan, Ahiatudin Daud di Parlimen Pekan.

Rosli diumumkan akan mempertahankan kerusi Dun Tanjung Lumpur manakala Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Andansura Rabu mempertahankan kerusi Dun Beserah.

Pas Pahang turut membuat kejutan apabila mengumumkan bekas Setiausaha Agung MIC yang kini ahli DHPP, Datuk S. Kumar sebagai calon di Dun Tanah Rata.

Manakala Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP), N. Balasubramaniam pula diumumkan sebagai calon di Parlimen Bentong.

Selain itu Pas juga menampilkan calon paling muda berusia 33 tahun yang merupakan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Paya Besar, Mohd Nor Hisam Muhammad di Dun Lepar.

Bagi Dun Pelangai, Pas mempertaruhkan seorang pesara guru, Zaharim Osman yang dijangka menentang penyandang kerusi berkenaan, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.