DAMAK - Kebiasaannya kita membayangkan pembuatan parang itu agak rumit sehingga perlu dileburkan besi dan kemudiannya diketuk sehingga membentuk sebilah parang yang tajam.

Namun bagi dua sahabat yang tinggal di Kampung Belukar, Damak, di sini, mereka hanya menggunakan pengait sawit yang tidak digunakan lagi.

Parang dibuat menggunakan hujung bilah sabit pengait itu dipelajari Ariffin Hamzah, 63 dan Abdul Ghani Awang, 77, daripada seorang lelaki di Kelantan dan mula menerima tempahan sejak 20 tahun lalu.

Abdul Ghani berkata, mereka menuntut ilmu dari tukang parang yang kini sudah meninggal dunia berikutan minat yang mendalam terhadap pembuatan senjata.

“Tapi kami hanya belajar cara membuat mata parang. Hulu parang dan sarungnya kami buat sendiri tanpa berguru dengan sesiapa.

“Kami beli bilah sabit mengait sawit yang sudah tidak digunakan untuk dijadikan mata parang. Bilah sabit itu kami asah dan canai menggunakan mesin pencanai sehingga membentuk parang mengikut kehendak pelanggan,” katanya.

Ariffin pula berkata, mereka menerima tempahan dari pelanggan sekitar daerah ini terutamanya penduduk Kampung Damak yang tahu akan kemahiran mereka.

Parang jenis kelewang yang dihasilkan Ariffin.

“Dalam sebulan kami terima tempahan sekitar tiga atau empat bilah parang yang kebiasaannya ditempah untuk kegunaan menyembelih lembu atau menyiang daging.

“Parang yang kami jual berharga RM70 sehingga RM130 bergantung pada saiz dan saiz paling panjang yang pernah dibuat lebih kurang satu meter dan paling pendek kira-kira lima inci,” katanya.

Menurutnya, mereka berdua boleh membuat kira-kira tujuh jenis parang seperti ibu badik, anak badik, kelewang, anak kelewang, golok, parang calung dan anak berlawan.

“Kesemua rekaan itu saya ambil dan buat berdasarkan parang-parang terdahulu dan rekaan paling unik pernah saya buat ialah anak kelewang.

“Saya gelarnya anak kelewang jantan kerana cangkuk yang ada pada belakang mata parang,” katanya.

Ariffin berkata, tidak hanya menerima tempahan, malah parang rekaan mereka turut pernah memenangi tempat pertama dalam sebuah pertandingan anjuran Kementerian Kesenian dan Kebudayaan di Terengganu.

“Pertandingan itu memerlukan kami membawa segala peralatan bagi membuat sebilah parang di sana. Mereka menilai dari sudut hulu, sarung dan bilah mata parang yang dihasilkan kami dan rekaan kami dikatakan lain dari yang lain berdasarkan hulunya,” katanya.

Hulu parang dihasilkan Ariffin dan Abdul Ghani dipelajari dan direka sendiri justeru berbeza dari parang-parang lain.

Katanya lagi, kebiasaannya mereka berdua memerlukan masa selama dua hari untuk menghasilkan sebilah parang berserta hulu dan sarungnya yang dibuat dari kayu pokok yang ukir, dicanai, dibersihkan menggunakan kertas pasir sebelum digilap menggunakan penyembur lapisan pengilat kayu.

Ketika ditanya adakah benar setiap parang mempunyai ‘khadam’nya yang tersendiri, Ariffin berkata, itu hanyalah kepercayaan dan amalan orang-orang terdahulu.

“Kebiasaannya parang digunakan oleh orang terdahulu untuk mempertahankan diri selain digunakan untuk meneroka hutan. Disebabkan itu ia diletakkan khadam.

“Tapi zaman sekarang semua itu sudah tiada. Jika ada cuma pada parang-parang lama,” katanya.

Mengulas lanjut tentang parang yang dihasilkan, Ariffin berkata, sebilah parang yang cantik bukan hanya terletak pada pembuatan hulu dan sarungnya, malah juga selesa untuk digunakan.

“Kita boleh tahu sama ada parang itu cantik atau tidak berdasarkan cara kita melibas parang itu. Jika ketika melibas itu kita rasa lancar dan selesa, maka ia sebilah parang yang sempurna,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BAHAU - Seorang warga emas bersama anak saudaranya berdepan detik cemas apabila disamun seorang lelaki bersenjatakan parang di kedai runcitnya di sebuah taman perumahan di Bahau, pagi semalam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.