KUANTAN - Pertubuhan Anak Kelahiran Pahang (PAKP) mendakwa Kerajaan Pusat yang diterajui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merendahkan golongan pekerja apabila menetapkan kadar gaji minimum RM1,050 sebulan berkuat kuasa 1 Januari 2019.

Timbalan Presidennya, Haslihelmy Zulhasli berkata Perdana Menteri pernah melakukan tindakan tersebut ketika menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun sebelum ini yang tidak membenarkan Akta Gaji Minima digubal walaupun anak-anaknya sendiri adalah antara orang terkaya di negara ini dan menjadi jutawan.

Menurutnya, Majlis Gaji Minimum Negara (MGNM) pada mulanya mencadangkan RM1,250 untuk Semenanjung mengikut manifesto Pakatan Harapan, tetapi diseragamkan RM1,170 di seluruh negara.

“Apabila Akta Gaji Minimum digubal pada 2012, ramai rakyat biasa dan kesatuan sekerja yang gembira tetapi Tun Mahathir sama sekali tidak berpuas hati.

“Kini, setelah sekali lagi mengambil alih tampuk pemerintahan negara, Mahathir nampaknya tidak banyak yang berubah,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Dalam pada itu, Haslihelmy berkata, golongan majikan mengusul kenaikan RM50 bermula dari Januari 2019 yang bermaksud RM1,050.

Jelasnya, PAKP berpendapat adalah tidak masuk akal mempunyai MGMN jika keputusan muktamad dibuat oleh Kabinet.

“Semalam, Mahathir mengumumkan apa yang diusulkan oleh majikan, bukankah ini bererti kepentingan pekerja telah dilelong dan dijaja sepenuhnya oleh Tun Mahathir?,” soalnya.

“Maka PAKP menyeru anggota MGMN untuk meletakkan saja jawatan mereka sebagai langkah bermaruah, memandangkan hanya suara majikan dan orang kaya sahaja yang ada nilai, dipertimbangkan dan didengar.

“PH mengecewakan kaum pekerja di negara kita. Apakah semua jaguh pekerja dalam pakatan itu akan bersuara atau mereka akan menutup mulut mereka?,” katanya.