KUALA LUMPUR - Kementerian Kerja Raya membentuk sekumpulan pakar 11 orang yang dianggotai golongan profesional, akademik dan pengamal industri bagi melakukan kajian terhadap perkembangan sektor pembinaan di negara ini.
    
Menterinya Datuk Fadilah Yusof berkata objektif kajian adalah untuk mengesan amalan kerja berkesan dalam sektor berkenaan bagi mengurangkan kadar kemalangan di lokasi pembinaan.

Diketuai Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Datuk Seri Judin Abd Karim, kajian yang bermula sejak dua minggu lepas akan mengambil masa tiga bulan, katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 2012 kementerian itu di sini hari ini.

"Kajian ini untuk melihat keseluruhan sektor pembinaan negara kita baik pembinaan bangunan atau jambatan. Apakah yang boleh kita lakukan untuk menambah baik dari segi praktikal, bahan, proses, prosedur dan cara kerja," katanya.
    
Mengulas perkembangan siasatan kejadian runtuhan tanjakan konkrit di susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang yang sedang dalam pembinan, Fadilah berkata ia masih dalam peringkat siasatan Jabatan Keselamatan Kesihatan dan Pekerjaan (DOSH).
 
"Kalau bagi tahu siasatan awal ia lebih kepada andaian. Jadi andaian yang kita tidak mahu, apa-apa pun perlu tunggu siasatan penuh dilakukan, adakah disebabkan bahan, pekerja mahupun kelalaian kontraktor," katanya.
    
Terdahulu dalam ucapan pada majlis anugerah itu Fadilah berkata kementerian akan terus memberi penekanan dalam usaha menyediakan kemudahan jaringan lebuh raya yang efektif.
    
"Pembangunan lebuh raya mampu memberi kesan berganda dalam menarik lebih banyak program pembangunan hartanah, perindustrian dan perbandaran yang secara tidak langsung memberi kesan signifikan kepada masyarakat setempat," katanya.
    
Sehubungan itu, beliau berkata untuk 'rolling plan' ketiga di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), jemaah menteri meluluskan pembinaan dua lebuh raya baharu iaitu Lebuhraya Kuala Lumpur Outer Ring Road (KLORR) dan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (Taiping-Banting) dan pembinaan dijangka bermula tahun hadapan.
   
Seramai 911 warga Kementerian Kerja Raya menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada majlis itu. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - Malaysia terus menyaksikan peningkatan jumlah pelancong perubatan atau pelancong kesihatan – orang yang berkunjung ke destinasi pelancongan dengan tujuan utama bagi mendapatkan rawatan perubatan atau kesihatan.
  • KUALA LUMPUR - Jumlah pakar bius di Malaysia dijangka meningkat sekali ganda dalam tempoh 10 tahun daripada 408 orang ketika ini sebaik universiti tempatan mampu melahirkan lebih banyak pakar dalam bidang ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.