JERANTUT - Suasana berubah seperti di zaman silam apabila sebahagian penduduk di daerah ini mengenakan pakaian pahlawan Melayu pada Program Menyusuri Sejarah Perjuangan dan Hari Pahlawan Pahang di Galeri Mat Kilau, Pulau Tawar, di sini baru-baru ini.

Program anjuran bersama beberapa agensi dan NGO termasuk Jabatan Agama Islam Daerah, Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid), Warisan Mat Kilau dan Majlis Daerah Jerantut (MDJ).

Kadi Daerah, Syarifuddin Mohamad Sa'ad berkata, pelbagai aktiviti turut dijalankan sepanjang program yang bermula  jam 8 pagi dan berakhir pada jam 11 malam.

"Acara bermula dengan pertandingan silat, memanah, puisi dan mewarna yang dijalankan serentak bermula jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.

"Acara silat dan memanah berjaya mencuri tumpuan ramai apabila peserta mengenakan pakaian pahlawan Melayu bagi mengimbau zaman perjuangan beberapa pahlawan Pahang terutama Mat Kilau dan Datuk Bahaman," katanya.

Menurutnya, program berkenaan bertujuan membangkitkan kesedaran masyarakat Islam tentang perjuangan pahlawan Melayu pada zaman dahulu untuk digunakan bagi berdepan penjajahan zaman moden.

"Pengisian program kita juga memberi fokus kepada kebudayaan tradisional. Kita turut menziarahi makam Mat Kilau yang terletak di Pulau Tawar," katanya.

Syarifuddin memberitahu, program tersebut turut dihadiri tokoh agama dan wakil rakyat termasuk Adun Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin dan Adun Damak, Zuridan Mat Daud.

"Pada sebelah malamnya pula kita adakan majlis bacaan Maulid Dhibaie dan diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada pemenang," katanya.