KUANTAN - Seorang penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) maut dalam satu kemalangan di Kilometer (KM) 154 Jalan Kuantan-Johor Bahru di sini, jam 7.15 petang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azli Mohd Noor berkata, mangsa, Che Muhammad Shahnisyawal Che Shahdam,20, yang juga penumpang belakang sebelah kiri maut di tempat kejadian.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa bersama tiga rakannya iaitu Muhammad Anas Shahlah Hudin, 22, iaitu pemandu, Muhammad Abu Hanifah Saugi, 22, (penumpang hadapan) dan Ahmad Syahmo Hanapi, 20 menaiki sebuah pajero Mitsubishi dari arah Kuantan menghala ke arah Johor Bahru.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan itu  dipercayai cuba mengelak sebuah kenderaan dari arah bertentangan yang dalam keadaan memotong sebuah kenderaan lain di laluannya.

“Pemandunya cuba mengelak tetapi terbabas dan masuk ke dalam parit di sebelah kiri bahu jalan menghala ke Johor Bahru,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, hari ini.

Beliau bekata, tiga lagi mangsa yang juga penuntut UTM mengalami kecederaan ringan.

Menurut Azli, mayat dihantar ke Hospital Rompin untuk tindakan lanjut manakala mangsa yang cedera menerima rawatan di hospital sama.

Dalam  pada itu, Azli berkata,  siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu kenderaan yang memandu secara cuai menyebabkan kematian.

Jelasnya, siasatan di tempat kejadian mendapati, sistem jalan adalah dua lorong dua hala yang dipisahkan garisan putih putus-putus sebagai pembahagi jalan manakala keadaan jalan lurus.

“Permukaan jalan bertar. Keadaan cuaca semasa kemalangan baik,” katanya.

Kes diklasifikasi di bawah Sek 41(1) AKta Pengangkutan Jalan 1987.