KUANTAN - Juara Piala FA, Tok Gajah terpaksa beraksi tanpa empat pemain utamanya apabila melayan kunjungan PKNP FC bagi saingan Liga Super, di Stadium Darul Makmur, malam esok.

Empat pemain yang terlibat adalah kapten pasukan, Matthew Davies, Patrick Cruz, Mohd Faisal Rosli dan Muslim Ahmad kerana penggantungan dan dibelenggu kecederaan

Pengendali pasukan, Dollah Salleh mengakui ketiadaan empat pemain itu amat dirasai selepas mereka membantu Pahang menjulang Piala FA.

“Namun, saya percaya aura Piala FA akan membantu Pahang untuk memastikan kemenangan sekali gus membantu meraih tiga mata dan memperbaiki kedudukan dalam liga.

“Sudah pasti kami ingin meraih kemenangan dan menewaskan lawan (PKNP) walaupun tanpa empat pemain utama yang membantu Pahang menjulang Piala FA buat kali ketiga.

“Kemenangan juga penting kerana kami mahu menduduki tempat kedua dalam saingan Liga Super musim ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, bekas pemain kebangsaan itu optimis dengan peluang untuk memburu tiga mata dan meminta para pemain mempamerkan persembahan terbaik.

Jelasnya, kejayaan muncul juara dan mengalahkan Selangor pada final Piala FA perlu dijadikan pencetus kebangkitan buat pasukan selepas menghadapi pelbagai cabaran terutama masalah kecederaan.

“Saya percaya dengan komitmen semua pemain dan mereka yang disenaraikan pada pertemuan dengan PKNP diharap dapat membantu mengutip tiga mata.

“Saya juga menjangkakan PKNP akan memberi saingan sengit kerana mereka sudah pasti mahu beraksi dalam kempen Piala Malaysia musim ini,” katanya.