KUANTAN - Seramai 39 pelatih Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kompleks Penyayang diraikan dalam Majlis Sambutan Aidilfitri di Kampung Tiram, di sini, semalam.

Pengerusinya, Pai Syahira Yahya, 33, berkata, program tersebut sebagai salah satu atur cara dalam jadual aktiviti bulanan PDK Kompleks Penyayang.

Menurutnya, PDK Kompleks Penyayang mempunyai kaedah tersendiri melatih orang kurang upaya (OKU) di bawah sebagai persediaan bagi membina keyakinan diri.

“Dalam program ini kami juga mengambil peluang untuk memperkenalkan satu program khas yang dilaksanakan bersama pelatih yang boleh disertai orang ramai iaitu  menggosok dan melipat pakaian dipanggil Prolika (Projek Lipat Kain).

“Orang ramai dijemput menggunakan perkhidmatan kami di sini dengan kadar tertentu untuk khidmat Prolika.

“Program ini sebenarnya dah dimulakan tahun lepas dan secara tak langsung memberi pulangan dalam bentuk elaun kepada OKU, dan dalam masa sama mendidik mereka untuk berkeyakinan bahawa dalam melakukan tugas dengan baik jika diberi peluang,” katanya.

Pai Syahira berkata, petugasnya mengambil masa enam bulan untuk melatih sekumpulan OKU di situ untuk melakukan kerja menggosok dan melipat pakaian.

Bagi Penyelia PDK berkenaan, Zahariah Mohamed, berkata walaupun kerja itu dianggap sebagai rutin biasa bagi individu yang normal, bagi OKU, ia dapat membantu membina keyakinan diri selain memperoleh pendapatan sampingan.

Katanya, seramai lima OKU berusia antara 20 hingga 33 tahun terbabit dalam projek Prolika yang bermula tahun lalu.

“Dengan lima orang ini kami mampu menerima tempahan maksimum sehingga 30 kilogram pakaian sehari.

“Tugasan itu bermula jam 8.30 pagi hingga 2.30 petang. Harga ditawarkan juga sangat berpatutan, kalau di tempat lain, kenakan RM3 bagi setiap kg, di sini, cuma bayaran RM2 dengan kualiti kerja yang bagus,” katanya.

Zanariah berkata, daripada jumlah pendapatan diperoleh hasil perkhidmatan tersebut PDK memberikan 70 peratus kepada kumpulan OKU yang terbabit dalam program  dan selebihnya digunakan untuk menampung kos operasi PDK.  

“Selepas dilatih lima bulan, pelatih OKU ini dilihat sangat selesa dengan tugasan sampingan itu dan sambutan diterima daripada orang ramai juga menggalakkan selepas kita memperkenalkan perkhidmatan menggosok dan melipat kain,” katanya.

Zahariah berkata, pelatih PDK menerima elaun daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 setiap bulan.

Beliau berkata, selain menerima penghantaran kain dan pakaian daripada penduduk sekitar, ada juga butik yang menghantar pakaian mereka ke PDK berkenaan.