KUANTAN - Hanya 0.30 orang kurang upaya (OKU) bekerja dalam sektor awam berbanding satu peratus yang disasarkan sebelum ini.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Malaysia, Zulkifli Ismail berkata, ini bermakna 3,782 OKU terlibat dalam sektor awam daripada 1,281,145 perjawatan sehingga Disember 2017.

Menurutnya, jumlah itu membabitkan 24 kementerian dan 13 Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) seluruh negara.

“Ini menunjukkan masih ramai golongan OKU belum mendapat kelebihan yang disediakan kerajaan dalam sektor awam.

"Statistik OKU berdaftar dengan JKM hingga 30 Jun 2018 adalah seramai 474,579 dengan lebih 30,000 daripadanya di Pahang. Saya percaya angka ini lebih besar jika mengambil kira mereka yang belum mendaftar.

“Justeru saya meminta penganjur dan peserta karnival kerjaya OKU melihat bukan sahaja hasil pelaksanaan karnival kerjaya ini, sebaliknya mengkaji, kenapa dan apakah yang menyebabkan OKU ini tidak mendapat pekerjaan. Apakah yang dikehendaki pihak majikan dalam menempatkan seseorang calon pekerja OKU di organisasi mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Kerjaya OKU Negeri Pahang 2018 di Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang, petang kelmarin.

Zulkifli berkata, hasil kajian itu perlu dimaklumkan kepada calon supaya mereka lebih bersedia seperti yang dikehendaki pihak majikan.

Hadir sama, Pengarah JKM Pahang, Zulkhairi Zainal Abidin.

Sementara itu Zulkhairi dalam ucapannya berkata, daripada 350 OKU yang mendaftar dan hadir dalam karnival tersebut, seramai 22 daripadanya mendapat pekerjaan.

“Mereka adalah calon yang menepati kualiti dan memenuhi pasaran kerja yang dipohon. Pada hari ini juga OKU di peringkat pelajar didedahkan dengan fungsi Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) yang memberi latihan kepada OKU untuk berniaga dan juga bidang vokasional menerusi Pendidikan Khas.

“Di sekolah khas aliran ini pelajar berpeluang memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang seperti pertanian, penternakan dan hospitaliti,” katanya.