KUANTAN- Niat seorang suri rumah membantu membebaskan suami yang kononnya ditahan  polis  atas satu kes jenayah menyebabkan dia kerugian RM6,500 apabila 'polis' yang menghubunginya itu sebenarnya seorang penipu.

Wanita berusia 37 tahun dari Jerantut menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut 4 Julai lalu memaklumkan suaminya kini berada di lokap dan menawarkan bantuan untuk membebaskan lelaki tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek meminta bayaran RM5,000 bagi tujuan itu, bagaimanapun mangsa tidak mempunyai wang seperti yang diminta.

Menurutnya, suspek mengurangkan jumlah bayaran kepada RM4,000 dan wanita itu membuat pembayaran pada kira-kira jam 3.32 petang hari sama  melalui akaun bank atas nama seorang wanita.

"Mangsa yang ketika itu tidak sedar dia menjadi mangsa penipuan dihubungi sekali lagi oleh suspek memberitahu suaminya tidak dapat dibebaskan kerana bayaran yang dibuat tidak cukup dan perlu membuat bayaran tambahan RM2,500.

"Mangsa yang bimbang suami dipenjarakan akur dengan arahan suspek lalu membuat bayaran tambahan seperti diminta hari itu juga melalui akaun sama,"katanya.

Mohd Wazir berkata, selepas menjelaskan semua bayaran, mangsa menghubungi suspek.

"Suspek memaklumkan dia sibuk dan akan menghubungi mangsa semula jam 6 petang.

"Namun hingga jam 6.30 petang proses pembebasan suaminya tidak dapat dibuat kerana suspek terlalu sibuk dan berjanji akan berbuat demikian pada 9 Julai lepas,"katanya.

Temberang suspek terbongkar pada hari berkenaan selepas mangsa sendiri ke IPD Jerantut untuk menjemput suami yang akan dibebaskan.

"Mangsa dimaklumkan nama suaminya ada dalam senarai tahanan lokap kerana kes dadah namun polis tidak meminta bayaran bagi pembebasan suaminya.

"Menyedari dia menjadi mangsa penipuan, wanita itu membuat laporan polis berhubung kejadian,"katanya.

Beliau berkata, suami wanita itu yng berusia 40 tahun yang juga seorang penagih  ditahan reman atas kes dadah setelah ditahan empat kali dalam tempuh 25 Jun hingga 6 Julai lalu.

"Lelaki tersebut  sudah dihadapkan ke mahkamah 10 Julai lalu di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,"katanya.