BENTONG - Dua maut manakala dua lagi cedera selepas kenderaan yang dinaiki lima sekeluarga hilang kawalan sebelum terbabas di Kilometer 41.1 Lebuhraya Kuala Lumpur Karak menghala ke Kuantan di sini, tengahari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengahari itu, penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) Nabila Qistina Ahmad Zaim, 14 dan neneknya, Minah Hassan, 82 , maut di tempat kejadian.

Pemandu, Ahmad Zaim Mokhtar, 54 dan isteri, Norazlina Mohamad, 54 serta seorang lagi anak mereka, Farzana Naqiah, 19 parah dan dihantar  mendapatkan rawatan di Hospital Bentong.

Pemangku Ketua Polis daerah Bentong, Deputi Superintenden Zainudin Abdul Hamid Hasil siasatan awal mendapati kenderaan jenis Mitshubishi Grandis yang dipandu Ahmaf Zaim bersama empat orang ahli keluarganya dari Sri Iskandar,Perak dalam perjalanan pulang ke rumah di Chendering, Terengganu.

"Setibanya di tempat kejadian pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu terbabas sebelum berpusing ke sebelah kiri jalan lalu melanggar tembok batu.

"Akibat pelanggaran tersebut, pemandu serta dua orang penumpang iaitu isteri serta anaknya  cedera dan dibawa menerima rawatan di Hospital Bentong. Manakala dua orang penumpang lagi penumpang disahkan meninggal di tempat kejadian,"katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Zainudin berkata kemalangan tersebut dipercayai berlaku dalam keadaan hujan dan jalan basah.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasat  sebelum jenazah diserahkan kepada ahli keluarga untuk urusan pengebumian.

"Pihak polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian itu dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA PILAH - Seorang wanita maut setelah kereta yang dinaiki merempuh bahagian belakang sebuah lori kargo sedang berhenti di Kilometer 17 Jalan Seremban -Kuala Pilah awal pagi tadi.
  • SEBERANG TEMERLOH - Dua beranak orang kurang upaya (OKU) yang menaiki motosikal terlibat kemalangan mengakibatkan bapa meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak patah kaki dalam kemalangan di Kilometer 1, Jalan Temerloh Gunung Senyum, Kuala Krau di sini kira-kira 6.30 petang semalam.
  • PONTIAN - Pemandu kereta Toyota Altis yang terlibat dalam kemalangan maut dua remaja berbasikal di Kilometer 1.3 Jalan Sawah Ulu Pulai, Pekan Nanas di sini Khamis lalu, dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman empat harinya berakhir hari ini.
  • MACHANG - Seorang ketua jururawat, Kalppana Bee Nagoor Kassim, 54 maut selepas kereta yang dipandunya terbabas di Kampung Bukit Tiu, di sini kira -kira jam 7.20 pagi tadi.