KUANTAN - Bau busuk dari tapak longgokan sampah haram di Jalan Kam­pung Jawa di sini, meng­ganggu dan mencemarkan peman­dangan.

Pemilik Warung Pok Teh, Rosmawati Omar, 55, berkata, situasi itu bertambah teruk jika berlaku hujan atau longgokan sampah diselong­kar anjing liar.

“Jika ia berlaku bau busuk akan muncul dan mencemar­kan persekitaran.

“Pelanggan di kedai saya juga kerap mengadu masalah bau dan pemandangan men­jijikkan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata, longgokan sampah tersebut berlaku apabila terdapat sebilangan penduduk yang mengambil jalan mudah mem­buang sampah kediaman mereka, di situ.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjaja Kampung Jawa yang juga bekas ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Jawa, Tan Siew Lan berkata, meskipun sudah diletakkan notis larangan membuang sampah, penduduk di kawasan per­umahan tersebut masih berdegil dan terus mem­buang sampah.

Menurutnya, pihaknya pernah menegur penduduk yang membuang sampah di situ, tetapi dimarahi semula kerana menyibuk.

“Tempat ini bukan tempat longgokan sampah. Ia kawasan parkir berdekatan pasar pagi dan terletak di jalan utama. Saya tak faham dengan mentaliti sesetengah penduduk yang ambil jalan mudah.

“Pihak Alam Flora sudah bersihkan kawasan ini. Pihak persatuan pun telah keluarkan kos bina papan tanda, tapi masih ada orang buang sampah,” katanya.

Menurutnya, sikap tidak bertanggungjawab ini memberi  imej buruk kepada peniaga pasar pagi sedangkan peniaga telah mengikut garis panduan persatuan dengan mengumpulkan sisa buangan mereka sendiri.

“Saya mohon pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) datang sini, tengok dan terus beri kompaun kepada orang ramai yang me­ninggalkan sampah di sini.

“Selagi tiada tindakan dibuat, letak 10 papan tanda larangan buang sampah pun, tak berkesan. Mereka tidak akan serik kalau tidak kena tindakan undang-undang,” katanya.