MUADZAM SHAH - Paparan kisah segelintir masyarakat Islam yang terdesak sehingga ada terpaksa menagih ihsan daripada rumah ibadat agama lain perlu dijadikan iktibar kepada institusi masjid untuk lebih terbuka dan ke hadapan dalam membela kebajikan golongan yang memerlukan.

Justeru, semua pihak termasuk ahli jawatankuasa masjid dan umat Islam perlu mengubah cara berfikir dan kefahaman terhadap peranan sebenar masjid yang sepatutnya multi fungsi dan bukan eksklusif dalam soal ibadah serta program keagamaan semata-mata.

Atas kesedaran itu, Masjid Tengku Ampuan Afzan, Bandar Satelit (MTAABS), Muadzam Shah mengambil langkah dengan memainkan peranannya sebagai sebuah masjid multi fungsi melalui Projek MTAABS Prihatin sejak setahun lalu.

Projek tersebut fokus kepada aspek kebajikan dengan melaksanakan program bantuan bagi membantu meringankan beban dihadapi masyarakat setempat yang memerlukan.

Pengerusi MTAABS,  Dr Khairulnizam Mat Karim berkata, usaha itu juga sebagai  salah satu daripada matlamat dan strategik masjid sebagai pusat komuniti dan kebajikan setempat.

Menurutnya,  antara bantuan kebajikan yang dihulurkan kepada golongan sasaran seperti asnaf dan anak yatim termasuk  bantuan persekolahan, bantuan barangan dapur, bantuan mangsa kebakaran, bantuan pesakit kritikal dan bantuan saudara baru.

“Pada masa sama MTAABS juga menyediakan  bantuan bagi musafir yang putus sumber kewangan, bantuan Ramadan dan Aidilfitri.

“Institusi masjid termasuk MTAABS sendiri perlu lebih sensitif dan aktif dalam soal kebajikan memandangkan situasi kehidupan sebahagian besar masyarakat hari ini yang terdesak dan kesempitan ekoran peningkatan kos sara hidup,” katanya.

Umat Islam perlu dibantu

Dr Khairulnizam yang juga seorang pensyarah dan  penyelidik kajian  perbandingan agama dan kajian etnik berkata, jika masjid tidak mainkan peranan, tidak mustahil isu masyarakat Islam mendapatkan bantuan atas ihsan rumah ibadat agama lain akan terus berlaku kerana mereka lebih terbuka dan tidak mengamalkan birokrasi dalam penyaluran sumbangan.

“Situasi ini Ini kadang-kala mengundang isu dan  konflik antara agama, itu yang kita bimbangkan maka saya selaku Pengerusi MTAABS mengambil inisiatif dengan mengurangkan karenah birokrasi dan  protokol dalam penyaluran bantuan kepada golongan yang memerlukan.

“Kita fokus untuk membantu meringankan beban yang dihadapi oleh golongan sasaran dengan meminimumkan saringan sebelum bantuan sewajarnya dihulurkan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, dalam melaksanakan usaha tersebut, beliau turut berdepan beberapa cabaran terutama dalam  mengubah cara berfikir masyarakat terhadap peranan sebenar institusi masjid.

“Masih ada masyarakat yang melihat masjid perlu berciri eksklusif dengan hanya  berperanan dalam menjalankan aktiviti rutin ibadah dan aktiviti keagamaan semata-mata.

“Apabila kita (masjid) melaksanakan program-program kebajikan seperti ini mereka agak keliru dengan ciri-ciri inklusif yang seharusnya dilaksanakan sesebuah institusi masjid apatah lagi program-program yang melibatkan kerjasama komuniti bukan Islam yang mungkin akan wujud pandangan sempit yang negatif,” katanya.