KUANTAN - Kemudahan pusat penjaja kekal di Taman Tas perlu diwujudkan supaya ia lebih sistematik dan selesa untuk pengunjung.

Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Seri Abdul Manan Ismail berkata, beliau mencadangkan kepada Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) supaya mengkaji dengan lebih teliti keperluan tersebut terutama dari segi kos.

Menurutnya, pada masa kini, penjaja di Taman Tas berniaga di merata tempat seperti di tepi jalan dan ada gerai jualan yang tidak mempunyai kemudahan seperti bekalan air.

“Apabila keadaan begitu, ia akan menjejaskan imej kerana kita akan ragu-ragu dengan aspek kebersihan dan sebagainya.

“Saya juga menerima rungutan daripada masyarakat, khususnya penduduk Taman Tas serta kawasan sekitarnya yang tidak selesa dengan kewujudan gerai di merata-rata tempat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas program gotong-royong di Pasar Taman Tas, di sini.

Turut serta, Yang Dipertua MPK Datuk Fadzilla Salleh dan Adun Panching, Datuk Mohd Zaili Besar.

Abdul Manan berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu perlu lebih prihatin untuk memastikan gerai kekal dibina untuk keselesaan dan keceriaan.

Katanya, bagaimanapun, keputusan sama ada gerai kekal diluluskan pembinaannya bergantung kepada kajian dilakukan MPK.

“Secara peribadi, saya berharap gerai kekal dibina kerana ia lebih selesa selain mempunyai bekalan air kemudahan bekalan air bagi keselesaan peniaga dan pelanggan,” katanya.

Sementara itu, Fadzilla berkata, selain mengecat Pasar Taman Tas, pemangkasan pokok yang membahayakan keselamatan turut dilakukan.

Beliau berkata, program itu lebih kepada mendekatkan masyarakat setempat dengan MPK dan ia diyakini dapat mencapai objektif.

“Sebenarnya, program seperti ini sudah banyak diadakan terutama di kawasan taman perumahan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya.

Lebih 100 kakitangan MPK serta penduduk setempat bersama bergotong royong menceriakan kawasan terbabit.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Kelulusan permohonan pesta makanan dan minuman Jerman yang membabitkan minuman keras yang akan diadakan di Centro Mall pada 12 dan 13 Oktober ini telah diberi kelulusan oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) bukannya kerajaan negeri.
  • KLANG - Majlis Perbandaran Klang (MPK) membuat tawaran kempen pengurangan kompaun letak kereta sempena Hari Malaysia melibatkan kesalahan Kompaun Letak Kereta dan Kompaun Halangan dan Lalulintas (RM15) dan Kompaun Trafik Kenderaan Berat (RM200) bermula 16 September hingga 15 Oktober 2017.
  • KUANTAN - Penaiktarafan kemudahan di taman awam termasuk Taman Gelora akan dilaksanakan bagi memastikan taman rekreasi tersebut boleh digunakan secara berterusan oleh warga Kuantan.
  • KLANG - Kerajaan negeri akan menambah 46 lagi bas Smart Selangor yang akan melalui 15 laluan bagi laluan kedua sebagai usaha memenuhi keperluan penduduk di negeri ini.
  • KLANG - GM Klang Sdn Bhd menerusi GM Klang Wholesale City bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Klang (MPK) untuk menarik lebih ramai pelancong ke situ dalam menjana pendapatan yang lebih tinggi sempena Tahun Melawat Klang 2017.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.