KUANTAN - Penduduk Taman Pelindung Perdana di sini berharap pembinaan surau baharu yang kini dalam proses pembinaan dapat disiapkan segera untuk kemudahan ahli kariah beribadat dengan lebih selesa.

Sejak setahun lalu, penduduk terpaksa menggunakan kabin usang sebagai ruang surau sementara untuk solat berjemaah dan mengikuti kelas-kelas ilmu ekoran bangunan surau lama terpaksa dirobohkan kerana terlalu uzur dan tidak selamat untuk digunakan.

Pengerusi pembangunan Surau Ar Raudah, Nasrudin Hassan berkata, bangunan lama surau itu rosak teruk akibat diserang anai-anai sehingga terpaksa dirobohkan.

Menurutnya, inisiatif telah diambil dengan membina bangunan Kompleks Surau Ar Raudah baharu di tapak asal surau dengan kos dianggarkan mencecah RM5 juta.

“Melalui pembinaan surau ini, ia bakal memberi kemudahan kepada pada penduduk untuk solat berjemaah  selain dijadikan pusat mendidik dan penyebaran ilmu agama serta sebagai pusat sehenti ke arah mewujudkan  masyarakat yang bersatu padu,” katanya.

Kerja-kerja pembinaan kompleks surau baharu dalam pembinaan

Nasrudin berkata, bangunan dua tingkat itu dilengkapi ruang solat yang dijangka mampu memuatkan 900 jemaah pada satu-satu masa.

“Usaha pembinaan surau ini mendapat kelulusan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan kerja-kerja awal pembinaan telah berjalan.

‘Selain berfungsi sebagai pusat ibadat dan pengembangan ilmu, surau ini juga bakal dilengkapi  bilik imam, pejabat, kelas pengajian, bilik tetamu, ruang pengurusan jenazah, klinik wakaf, kemudahan IT, tandas, parkir kenderaan  dan taman permainan kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata, dana kewangan utama pembinaan surau itu bergantung kepada sumbangan orang ramai melalui kutipan tabung khas dilancarkan Ramadan lalu.

Orang ramai yang berhasrat untuk menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun bank (Maybank) 5561 6924 2554 atas nama Musolla Ar Raudah  atau hubungi talian 013-9609434 (Ustaz Azli) dan 012-946 2612 (Hazimin).