KUANTAN - Kira-kira 20 tahun lalu, dia hanya mengusahakan gerai makan kecil hasil pinjaman dari Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Pekan berjumlah RM1,000.

Bagaimanapun, kini perniagaan pasangan suami isteri, Abdullah Musa , 55, dan isteri Mazarah Abdul Manaf, 51, semakin berkembang apabila sudah mempunyai dua kedai makan dan mengusahakan penternakan ayam kampung di Kampung Tanjung Selangor dan Tanah Putih, Pekan.

Mazarah berkata, pinjaman daripada AIM Pekan ternyata banyak membantunya memajukan perniagaan yang diusahakan.

“Pinjaman AIM lebih mudah kerana ia memang diwujudkan untuk bantu suri rumah yang mahu berniaga. Jadi, bagi saya ia amat membantu kami yang memang minat dalam perniagaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mazarah berkata, dia kini mampu tersenyum dengan pendapatan RM28,000 sebulan melalui perniagaan yang diusahakan.

Kejayaannya dalam perniagaan juga menjadikannya salah seorang penerima Anugerah Sahabat Berjaya AIM Parlimen Pekan yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sempena Himpunan Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia Parlimen Pekan, kelmarin.

Sementara itu, seorang lagi penerima anugerah, Rahana Mat Nor, 42, dari  Perumahan Dara Chini, berkata,  dia mengusahakan kedai makan dan jualan kerepek pada tahun 2007 dengan pinjaman AIM sebanyak RM20,000.

Menurutnya, kemudahan pinjaman AIM membuatkan dia memilih untuk menyertai AIM bagi memulakan perniagaan.