BANDAR TUN ABDUL RAZAK JENGKA, Pahang - Tiada siapa menyangka panggilan tidak berjawab atau ‘missed call’ daripada seorang peniaga ayam borong di telefon bimbit adik beradiknya merupakan panggilan terakhirnya sebelum dia dimaklumkan meninggal dunia dalam satu kemalangan, petang kelmarin.

Mangsa, Hadi Rashid, 38, dikatakan menelefon beberapa adik beradiknya sekitar jam 3 petang sebelum terlibat dalam kemalangan sekitar jam 5 petang.

Adik mangsa, Habibah Rashid, 34 berkata, dia dimaklumkan abangnya ada menghubungi adik beradik lain, namun tiada seorang pun menjawab panggilan tersebut.

“Itulah kali terakhir arwah menghubungi kami dan tidak menyangka itu panggilan terakhir daripadanya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di tempat kejadian.

Habibah berkata, kali terakhir dia menemui mangsa adalah dua hari lalu, namun arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan tingkah laku atau berkelakuan pelik.

“Selang dua atau tiga hari, saya akan menjenguk arwah di pejabatnya. Hari ini (kelmarin), saya pergi ke pejabat untuk berjumpanya kerana sudah dua hari tidak bertemu.

“Sebaik sahaja tiba di pejabatnya yang terletak di bandar ini, saya dimaklumkan bahawa abang saya terlibat dalam kemalangan dan terus bergegas ke sini (lokasi kemalangan),” katanya.

Habibah berkata, mangsa yang merupakan seorang peniaga ayam di pasar borong dan Menetap di Felda Jengka 2 itu meninggalkan seorang isteri serta empat orang anak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, berdasarkan siasatan, mangsa didapati terbabas di jalan besar berhampiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang-Bandar Jengka.
 
“Mangsa dikatakan dari bandar dan ingin pulang ke rumahnya yang terletak di Felda Jengka 2. Kereta mangsa terbabas lalu melanggar sebatang pokok.

“Mangsa maut di tempat kejadian dengan kecederaan teruk di bahagian pinggang dan bawah badannya,” katanya.

Saksi kejadian, Azizan Abdullah, 42, berkata, ketika melalui jalan tersebut, dia mendapati mangsa yang sudah tidak bernyawa tersepit di antara pokok dan keretanya.

Ketua Balai Bomba Bandar Jengka, Mohd Shaffie Abdul Rahman pula berkata, seramai enam anggota bomba dan penyelamat serta sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa.

“Kami menerima panggilan pada jam 5.17 petang dan mangsa berjaya dikeluarkan dalam tempoh 25 minit dengan memotong pintu di sebelah kanan mangsa,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JITRA - Seorang lelaki cedera di dahi selepas ditetak abangnya dalam satu pertengkaran di rumah mereka di Kampung Tok Imam di sini, kelmarin.
  • JASIN - Perkataan 'mengecal' pastinya jarang didengari atau sangat jauh daripada pemahaman segelintir masyarakat.
  • KUALA TERENGGANU - Pertemuan tiga tokoh agama dan pendakwah terkenal dari Malaysia dan Indonesia di sini, disifatkan sebagai salah satu gelombang kebangkitan ummah di nusantara.
  • KUANTAN - Kumpulan Kolej Cosmopoint, sebuah entiti di bawah Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) menerima anugerah penarafan lima bintang oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Sistem Penilaian Kualiti Kolej Swasta Malaysia (MyQUEST) 2016/2017.
  • KUANTAN - Kecacatan pada kaki kiri sejak lahir meragut kegembiraan remaja ini melalui usia remaja seperti rakannya lain.