WALAUPUN berketurunan Cina dan beragama Kristian, ia bukan menjadi penghalang menjalankan tugas seharian di pejabat pada bulan Ramadan termasuk mengarahkan rakan sekerja yang beragama Islam untuk bertadarus.

Pegawai Penguatkuasa SWCorp Cawangan Rompin, Chang Ana, berkata, semua tugas seharian berjalan seperti biasa dan dalam masa sama beliau tetap menghormati rakan sekerja yang berpuasa dengan memberi kelonggaran sekiranya mereka penat dan sebagainya.

Menurutnya, rutin hariannya yang biasa membeli sarapan dan makan bersama di pejabat berubah selain turut tidak makan pada waktu tengah hari.

“Biasanya saya beli sarapan dan makan bersama di pejabat tapi pada bulan Ramadan ia berubah, saya akan sarapan di rumah sebelum pergi kerja, lagi pun pada awal pagi mereka sudah bersahur, kalau tak sempat terpaksalah saya cari kedai makan di luar.

“Waktu makan tengah hari pula saya terus tak makan, mungkin rasa hormat pada mereka sebab bulan biasa saya akan bungkus dan makan di pejabat,” katanya.

Chang Ana (kiri) turut bergotong-royong mengacau bubur lambuk sebelum diedarkan kepada penduduk di sekitar bandar Kuala Rompin.

Menjadi rutin kebanyakan rakan sekerjanya akan ke bazar Ramadan selepas habis kerja, ia juga mempengaruhi Chang Ana untuk ikut sekali mencari juadah untuk dibawa pulang ke rumah.

“Hampir setiap petang lepas habis kerja ikut mereka pergi bazar Ramadan beli juadah, saya biasa beli martabak, lauk-pauk dan kuih-muih,” katanya.

Walaupun janggal, namun sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai pegawai cawangan, beliau turut akur dengan arahan daripada ibu pejabat supaya mengadakan program tadarus di pejabat.

“Ini arahan dari ibu pejabat supaya setiap cawangan buat tadarus, kalau ikutkan ketua cawangan kena pimpin tapi saya bukan Muslim, jadi saya tetap minta mereka buat dan sentiasa ingatkan supaya mereka dapat habiskan bacaan,” katanya.

Berkongsi kisah sikap toleransinya yang tinggi itu, Chang Ana berkata beliau pernah bersekolah bersama dengan orang Melayu di Sarawak dan tinggal di asrama bersama mereka.

Katanya, secara tidak langsung beliau memahami budaya dan ibadah orang Islam seperti waktu sembahyang serta amalan harian lain.

Sementara itu, seorang penguatkuasa, Sulhafiz Mohamad, 31, yang ditemui menzahirkan rasa syukur kerana bekerja dengan ketua yang bukan beragama Islam tetapi memahami budaya dan cara orang Islam.

Menurutnya, ketuanya itu juga tidak terlalu tegas sebaliknya memberi kelonggaran terutama bagi penguat kuasa yang perlu melakukan rondaan untuk memastikan syarikat konsesi menjalankan tugas seperti ditetapkan.

“Setakat ini saya lihat puan Chang Ana memang memiliki rasa hormat tinggi pada agama lain. Dia tak ambil mudah terutama berkaitan agama dan tetap menyuruh kami melaksanakannya ,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Seramai 500 peserta wanita sekitar Parlimen Kota Raja menyertai program Karisma Ramadan Tadarus Perdana anjuran Majlis Pembangunan Wanita Keluarga (MPWK) Kota Raja bertempat di Masjid Alam Impian, di sini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.