BERA - Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyokong permohonan penduduk untuk mengkaji semula penutupan Balai Polis Triang sejak Disember lalu yang mendapat rungutan dan menjadi keperluan mendesak kepada penduduk setempat.

Ismail Sabri berkata, kewujudan balai polis berkenaan amat penting dalam memastikan keselamatan lebih 20,000 penduduk di kawasan itu sentiasa terjamin.

"Saya menyokong permohonan penduduk memandangkan Triang mempunyai penduduk yang padat serta mempunyai aktiviti ekonomi yang besar termasuklah mempunyai banyak bank dan kedai emas.

"Jadi saya akan menulis surat kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi memohon untuk membuka semula balai polis berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menerima memorandum daripada wakil penduduk yang diwakili Ketua MCA Bahagian Bera, Datuk Wai Che Seng bagi memohon membuka semula Balai Polis Triang di Dewan Futsal Majlis Daerah Bera, hari ini.

Difahamkan, Balai Polis Triang yang pernah dijadikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) ditutup sejak Disember tahun lalu setelah pentadbirannya dipindahkan ke IPD baharu yang terletak di Kerayong.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, Balai Polis Triang yang terletak di pekan itu amat signifikan dalam memastikan keselamatan penduduk sekali gus memberikan kehidupan yang lebih baik kepada penduduk setempat.

Menurutnya, pertukaran pentadbiran Balai Polis Triang ke IPD Bera di Kerayong agak jauh sehingga menyukarkan dan melambatkan penduduk membuat laporan mengenai apa-apa kes.

"Pada pandangan saya lebih baik dikekalkan Balai Polis Triang kerana walaupun tidak ramai anggota tetapi sekurang-kurangnya ada polis di kawasan itu," ujarnya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • LAHAD DATU - Kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM40,000 untuk kos pembinaan setiap Rumah Bina Negara (RBN) di Sabah dan Sarawak.
  • SANDAKAN - Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta pemimpin parti di akar umbi memainkan peranan mereka menjawab fitnah yang disebarkan pembangkang dengan menjelaskan duduk sebenar sesuatu perkara kepada masyarakat.
  • KOTA TINGGI - Sebanyak 100 unit rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Taman Sinar Sedili di Tanjung Sedili di sini, siap dibina sekali gus menjadikan ia penempatan PPRT pertama melibatkan jumlah unit paling banyak di negeri ini.
  • BERA - Program Agropreneur Muda yang dilaksanakan pada tahun lalu gagal mencapai sasaran untuk melahirkan 1000 usahawan dalam tempoh setahun apabila hanya 354 usahawan sahaja yang bergerak aktif.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.