• Kuan Chee Heng Kuan Chee Heng
1 /

GOMBAK – Mengaku sudah memecahkan lebih 100 kenderaan dan mencuri barangan berharga milik mangsanya, kegiatan seorang lelaki akhirnya tumpas apabila dia dicekup sekumpulan anggota kepolisan masyarakat (CP) di Taman Danau Kota, di sini, kelmarin.

Difahamkan, suspek berusia lingkungan 30-an itu melakukan jenayah sejak tiga bulan lalu bukan untuk memenuhi keperluan hidupnya sebaliknya wang tunai yang dicuri dalam kereta akan digunakan untuk berjudi.

Pengerusi Persatuan Kepolisan Masyarakat (CP) Malaysia, Kuan Chee Heng berkata, gerak-geri suspek yang mencurigakan disedari salah seorang anggotanya, pagi kelmarin.

Katanya, ketika kejadian anggotanya dalam perjalanan untuk menghantar isteri ke tempat kerja namun hasrat itu ditangguhkan apabila terserempak dengan suspek yang seolah-olah berkelakuan pelik di kawasan tempat parkir kereta berdekatan sebuah kondominium.

Beliau berkata, curiga dengan perbuatan suspek, anggotanya kemudian menghubungi tiga lagi ahli CP yang berada berhampiran untuk mengintip kelakuan lelaki itu.

Apabila suspek memecahkan cermin sebuah kenderaan yang diletakkan di luar kawasan kondominium itu, keempat-empat ahli CP kemudian bertindak merapatinya namun lelaki itu melarikan diri.

“Suspek berjaya diberkas dan diserahkan kepada polis bersama beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk memecahkan kenderaan termasuk pemutar skru, pisau dan gunting.

“Untuk kelmarin sahaja, dia mengaku sudah memecahkan cermin tiga kenderaan dan mendapat beberapa barangan termasuk ‘smart tag’ dan wang tunai,” katanya.
Sinar Harian dimaklumkan, lelaki yang masih dikenakan tindakan di bawah Akta Kediaman Terhad itu mengaku sudah memecahkan lebih 100 kenderaan dan melarikan barangan berharga sejak Mac lalu.

Chee Heng berkata, penangkapan suspek menunjukkan masyarakat sudah mulai sedar pentingnya membanteras jenayah dan tidak meletakkan tugas itu di bahu polis semata-mata.

Katanya, perkongsian maklumat antara polis dan ahli CP juga menjadi faktor pencegahan jenayah dapat dilakukan dengan lebih cekap.