• Menunjukkan barisan gambar Yang DiPertua Agong dan Perdana Menteri negara yang pertama hingga kini. Menunjukkan barisan gambar Yang DiPertua Agong dan Perdana Menteri negara yang pertama hingga kini.
1 /

JENGKA 20 - Seorang peneroka Felda Jengka 20 yang menjadikan aktiviti mengumpul koleksi gambar pemimpin kini sedang mencari foto wajah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melengkapkan koleksinya.

Jamaluddin Jaafar, 61, berkata, sehingga kini beliau telah memiliki gambar-gambar pemimpin besar negara seperti Yang DiPertuan Agong dan Perdana Menteri.

“Saya kini sedang mencari gambar Muhyiddin untuk melengkapkan koleksi saya yang ada kini.

“Setakat ini merata tempat sudah saya pergi termasuk pergi ke Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan sekolah-sekolah untuk mendapatkan gambarnya namun setakat ini masih belum jumpa yang dicari,” katanya.

Tambahnya, kebanyakan gambar Muhyiddin yang ditemui bersaiz kecil, manakala beliau sedang mencari gambar yang bersaiz besar sebesar gambar bersaiz A3.

“Selain Muhyiddin, saya juga dalam usaha mencari gambar pemimpin-pemimpin negara lain termasuk panglima tentera dan orang yang memberi sumbangan besar kepada negara.

“Saya merancang untuk memenuhkan ruang hadapan rumah saya ini dengan gambar pemimpin-pemimpin negara kita, justeru berharap kepada sesiapa yang memiliki gambar pemimpin ini agar berkongsi gambar tersebut kepada saya,” katanya.

Tidak hanya mengumpul gambar pemimpin, Jamaluddin juga sentiasa mengibarkan Jalur Gemilang di rumahnya walaupun bukan ketika bulan kemerdekaan.

“Saya sentiasa meletakkan bendera memenuhi laman rumah saya saban tahun sehingga ada yang mengatakan saya tidak ‘sihat’.

“Pada saya, semangat patriotisme itu tidak hanya ada pada bulan kemerdekaan sahaja, malah perasaan cintakan negara itu perlu ada setiap masa,” katanya.

Semangat patriotisme yang ada dalam dirinya itu telah diterapkan arwah bapanya yang merupakan seorang bekas polis, dan kini semangat cintakan negara itu mengalir pula dalam diri lima anaknya yang kini berkhidmat untuk keselamatan negara.

“Saya dididik semangat sebegini sejak kecil dan turunkan pula kepada anak-anak saya. Empat anak lelaki saya menjadi tentera manakala anak perempuan saya berkhidmat sebagai jururawat,” katanya.