KEJADIAN seorang warga emas disamun dan kakinya ditetak hingga putus di Pasir Mas, Kelantan Jun tahun lalu, pernah menggemparkan negara.

Walaupun peristiwa itu sudah hampir setahun berlalu, Mek Som Mat Diah, 90, masih trauma dan sentiasa bimbang kejadian itu berulang.

Bagaikan jatuh ditimpa tangga, Mek Som kini bukan sahaja sukar berjalan kerana kakinya terpaksa dipotong hingga paras lutut malah, keadaan rumahnya juga terlalu uzur untuk didiami.

[ARTIKEL BERKAITAN: ‘Awe hok kerat kaki Tok’]

Keadaan itu menyebabkan warga emas itu terpaksa menumpang di rumah anak saudaranya, Mek Nab Awang Ngah, 72, di Felda Jengka 11.

Mek Nab berkata, ketika kejadian, Mek Som tinggal bersama anak tunggalnya Aishah Abdullah, 67, di Kampung Tanjong Rendang, Lemal  namun anaknya itu juga tidak sihat akibat sakit tua.

"Anaknya pun sekejap ingat sekejap lupa, nak kata nyanyuk tu tak juga sebab ada masa dia ingat semua jadi saya tinggal di sana (Pasir Mas) jaga dia. 

"Kami semua balik sini dalam bulan 12. Waktu mula-mula lepas kena potong kaki tu dia tak selesa sebab rasa lain tak ada kaki Selalu takut dan sampai sekarang pun Mek Som masih trauma sebab kalau anak cucu buka pintu, dia suruh tutup. Dia kata ada perompak,” katanya.

Mek Som  tidak boleh mengingati secara terperinci apa yang pernah berlaku ke atasnya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Remaja potong kaki Mek Som dipenjara 11 tahun]

“Tak ingat dah. Tapi kaki kena potong perompak... tak ingat sangat macam mana,”  kata Mek Som ketika ditemui di rumah anak saudaranya.

Sementara itu, cucu suadara Mek Som, Rohazma Ayu Mohamed Nor, 34, berkata, dia terpaksa mengambil ibunya, Mek Nab dan Mek Som (nenek suadara) dan Aishah (ibu saudara) tinggal di Jengka 11 memandangkan keadaan rumah Mek Som yang sudah uzur dan tidak selesa untuk didiami.

“Mak saya pun dah tua. Saya selalu melawat mereka di sana. Mak jaga Mek Som dan Su (Aishah) di sana dengan keadaan rumah yang uzur. Rumah tu tak selamat sebab dinding rumah dah rosak dan terkopak.

“Lagi pun duduk sana saya tengok mak kena angkat Mek Som turun naik tangga untuk ke dapur. Makan pakai Mek Som dan Su, mak yang jaga dan tanggung.

“Mereka berdua kena pakai lampin pakai buang empat beg sebulan setiap seorang. Sekali sekala mak balik sini. Nak jimat kos ulang alik, kami bawa mereka balik,” katanya.

Menurut Rohazma Ayu, setelah beberapa bulan tinggal di Pahang timbul masalah dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima Aishah.

"Bantuan OKU yang diterima Aishah ditarik balik atas alasan tidak balik ke sana melebihi tiga bulan. Mek Som dan Aishah adalah penerima bantuan OKU JKM berjumlah RM300 sebulan," katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.