• Peserta perhimpunan menandatangani poster menuntut pembinaan sekolah menengah persendirian Cina. Peserta perhimpunan menandatangani poster menuntut pembinaan sekolah menengah persendirian Cina.
1 /

KUANTAN - Perhimpunan aman masyarakat Cina di Padang Kemunting, semalam, bertujuan mengumpul 5,000 tandatangan bagi memohon Kerajaan Negeri meluluskan sebuah sekolah menengah persendirian Cina di Pahang.

Perhimpunan kira-kira dua jam anjuran Gabungan Dong Lian Pahang itu turut disokong MCA dan Gerakan.

Pengerusi Lembaga Pengurus Sekolah-sekolah Cina Pahang, Lim Chin Chee berkata, ibu bapa melihat sekolah itu satu keperluan untuk pendidikan anak mereka.

Menurutnya, hasrat menubuhkan sekolah menengah persendirian Cina itu disokong rakyat seluruh negara kerana pengajarannya mementingkan tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris dan Cina.

“Justeru, sekolah itu turut menggalakkan bangsa lain mendapat pendidikan di situ jika ia menjadi kenyataan.

“Kita suda membuat permohonan sejak lebih 20 tahun lalu, tetapi sehingga kini belum dapat kebenaran kerajaan, sedangkan tidak ada akta yang melarang penubuhan sekolah menengah persendirian,” katanya ketika berucap pada perhimpunan itu di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 4, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Teruntum, Chang Gong Seong; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari, Datuk Dr Ng Keong Chye dan Ketua MCA Bahagian Kuantan, Datuk Ti Lian Ker.

Chin Chee berkata, dasar pendidikan negara harus dikaji semula supaya ia boleh dipelbagaikan.

Seperti contoh katanya, membenarkan penubuhan lebih banyak sekolah pilihan kepada rakyat untuk memilih pendidikan paling sesuai.

“Hanya Pahang yang tidak ada sekolah persendirian sedangkan sebanyak 60 sekolah menengah persendirian Cina di seluruh negara dibina setakat ini,” katanya.

Sementara itu, Adun Semambum, Pang Tsu Ming tidak mahu perkara itu dipolitikkan pihak tertentu.

Beliau berkata, MCA sentiasa menyokong masyarakat Cina meningkatkan pendidikan melalui pelbagai cara.

“Secara peribadi, kita menyokong penubuhan sekolah menengah persendirian Cina ini kerana mampu membantu meningkatkan pendidikan negara jika mendapat kelulusan kerajaan,” katanya.