KUALA ROMPIN – Bekas atlet angkat berat yang pernah memenangi pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) 1996 Pahang bukan setakat mengorbankan zaman remajanya tetapi juga sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Demi fokus untuk meraih pingat dalam setiap kejohanan besar yang disertai, latihan tetap diteruskan walaupun jauh di sudut hatinya syahdu dan sedih mengenangkan keluarga serta rakan-rakan yang gembira beraya.

Fahmizan Husin, 39, berkata, pengorbanan yang dilakukan itu atas dasar disiplin latihan dan memang tidak mengecewakan apabila berjaya meraih pingat sekurang-sekurangnya gangsa dalam kejohanan peringkat nasional.

Menurutnya, cuti yang diperuntukkan kepada setiap atlet pada ketika itu pun hanya sehari sahaja dalam tempoh seminggu dan jika Hari Raya Aidilfitri tidak jatuh pada hari cuti itu, maka latihan akan diteruskan seperti biasa.

“Semasa bergelar atlet dulu saya memang fokus pada sukan hinggakan jika sedang bersiap sedia untuk kejohanan besar, hari raya pun saya akan training... sebenarnya boleh nak cuti tapi saya jaga disiplin...

“Perasaan ketika itu memang syahdu sebab kena training... orang lain beraya kita sibuk training... ketika itu jurulatih saya dari China... dia tekan saya masa tu sebab tahu ada harapan menang pingat..,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimana pun, sinar kegemilangan Fahmizan atau dikenali dengan jolokan ‘badang’ tidak kekal lama dalam sukan angkat berat selepas mengalami sakit di bahagian belakang.

Menurutnya, dia tidak boleh bangun ketika sakit menyerang dan keadaan itu berlanjutan hingga kini.

Kemuncak penyakitnya itu , Fahmizan akhirnya memilih untuk mengundurkan diri sepenuhnya daripada sukan itu dan kini hanya melakukan kerja kampung demi menanggung keluarga.

“Saya tiada masalah dengan layanan selepas tidak bergelar atlet kerana ramai atlet lain juga menanggung nasib sama namun tetap memohon pihak berkenaan memberi perhatian kerana kami telah mengorbankan zaman remaja.

“Saya hilang zaman remaja dan hanya tahu bersukan tetapi apabila berlaku begini memang sukar untuk melakukan kerja lain. Bila ingat kembali, remaja lain boleh bersama keluarga dan makan pelbagai tetapi sebagai atlet itu semua terpaksa dikorbankan demi pingat serta mengharumkan nama negeri atau negara,” katanya.