PEKAN - Mayat seorang lelaki yang bertindak terjun ke dalam Sungai Pahang selepas  terkejut dengan kehadiran pihak polis, Isnin lepas, ditemui di sungai berhampiran tanah perkuburan Kampung Ketapang, di sini, malam tadi.

Mayat Ahmad Shaifullah Abdul Rahman, 33, ditemui kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadi pada 11.30 malam oleh adiknya, Ahmad Jauhari, 25, yang melakukan pencarian bersama tiga lagi rakannya dengan menaiki dua buah bot.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Amran Sidek berkata, adiknya menemui mayat abangnya dalam keadaan terapung di sungai berkenaan dengan jarak kira-kira 50 meter dari tebing sungai.

"Adik mangsa dan rakannya kemudian bergegas mengangkat mayat berkenaan dan mengesahkan ia adalah abangnya yang dilaporkan hilang selepas membuat pengecaman.

"Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Pekan bagi bedah siasat dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati lemas," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

"Tiada kesan unsur jenayah ditemui pada tubuh mangsa dan jenazah telah pun dituntut oleh ahli keluarga bagi urusan pengebumian.

Dalam kejadian pada pukul 4 petang itu, mangsa yang ketika itu sedang memancing bersama rakannya di tebing Sungai Pahang berhampiran Kampung Pulau Enjin dilaporkan telah terjun ke sungai berkenaan setelah terkejut dengan kehadiran polis yang melakukan rondaan di kawasan itu.

Mereka kemudian dilaporkan berenang kira-kira 200 meter ke tengah sungai, sebelum mangsa dilaporkan lemas manakala rakannya berjaya berenang ke tebing. – Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BUKIT SENTOSA - Mayat seorang lelaki warga negara Myanmar ditemui di dalam longkang berhampiran loji sisa kumbahan di Jalan Semarak dekat Bukit Beruntung, petang semalam.
  • KOTA SAMARAHAN - Setelah lima hari gerakan mencari dilancarkan, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) hanya menemui seluar dalam mangsa, yang sebelum itu dilaporkan hilang setelah dipercayai jatuh ke laut pada 16 Ogos lalu.
  • JOHOR BAHRU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) menemui mayat lelaki terapung dalam laut kira-kira enam batu nautika Timur Laut Tanjung Sedili, Kota Tinggi, semalam.
  • BATU PAHAT - Dua lelaki dilaporkan hilang manakala seorang berjaya menyelamat diri apabila bot dinaiki mereka karam ketika menangkap ikan di Empangan Bekok, Yong Peng, di sini, hari ini.
  • NIBONG TEBAL - Mayat seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh daripada sampan ketika menjala udang di Sungai Kebun Baru, Byram ditemui pagi semalam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.