RAUB - Penduduk Perkampungan Orang Asli Sungai Temir, di sini merayu pihak berkaitan membenarkan mereka berpindah ke Sungai Bakap yang didakwa sebagai tanah adat mereka.

Difahamkan, penempatan baharu itu nanti jauh lebih baik dari kawasan didiami sekarang yang sering dilanda banjir dan mudah dinaiki air terutama ketika musim hujan sekali gus menjejaskan pendapatan mereka.

Seorang penduduk, Salim Lik,39, berkata, banyak kesan peninggalan nenek moyang seperti kubur lama Orang Asli yang mampu dijadikan bukti kawasan Sungai Bakap adalah milik mereka.

“Di Sungai Bakap terdapat sebuah pokok durian sangat besar berusia kira-kira 100 tahun yang berkemungkinan ditanam nenek moyang kami disebabkan ada kubur-kubur lama nenek moyang kami berdekatan dengan pokok itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, Sungai Bakap yang berkedudukan lebih dekat itu juga mempunyai hasil hutan termasuk buah-buahan yang boleh membantu penduduk menambah pendapatan.

“Bukan kami tidak mahu pindah tapi Sungai Bilut seperti yang diminta kerajaan itu jauh dari tempat kami tinggal sekarang. Berpindah ke sana (Sungai Bilut) akan menyusahkan kami untuk pindah sebab tak ramai yang ada kenderaan sendiri.

“Sungai Bakap dekat saja dan banyak hasil hutan macam petai, durian, pokok tampoi yang dapat tingkatkan pendapatan seharian kami lebih bergantung kepada hasil hutan untuk kami cari makan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Ma Joot, 50, berkata, penduduk di situ ingin berpindah ke Sungai Bakap disebabkan penempatan yang sedia ada sering banjir dan mudah dinaiki sehingga memusnahkan hasil tanaman mereka.

“Kalau hujan, rumah yang berada di bahagian rendah akan ditenggelami air dan apabila air naik penduduk yang ada ladang dan kelapa sawit tidak dapat mengutip hasil kerana air yang naik agak tinggi.

“Saya dan penduduk lain sangat berharap pihak berwajib dapat terima permohonan kami yang ingin pindah kerana banyak kesusahan di Sungai Temir sekarang ini,” katanya.

Ma berkata, peluang  perlu diberikan untuk menjaga semula kawasan nenek moyang yang lama ditinggalkan dan mewarisi pokok durian berusia kira-kira 100 tahun,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MARAN - Masyarakat Asli di daerah ini dinasihatkan supaya tidak lagi hanya berpeluk tubuh dengan mengambil pendekatan tunggu dan lihat semata-mata, sebaliknya mereka perlu berani menyahut seruan dan cabaran untuk menjadi bangsa maju, kental serta berdaya saing.
  • TAPAH - Seorang lelaki Orang Asli terjatuh dari pokok ketika memetik petai di kawasan Taman Rekreasi Kuala Woh, kira-kira jam 11 pagi semalam.
  • GUA MUSANG - Meskipun masyarakat Orang Asli di hampir kesemua pos pedalaman sudah memiliki kemudahan tempat tinggal, namun di Kuala Koh, masih ada yang hidup secara nomad dan berpindah randah.
  • GUA MUSANG - Masalah pengambilan arak di kalangan masyarakat Orang Asli Islam terutama golongan belia di jajahan Lojing, di sini, semakin meruncing dan memerlukan perhatian serius.
  • KUALA LUMPUR - Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) terdiri daripada 88 sukarelawan menggerakkan misi bantuan tanggungjawab sosial korporat (CSR) 2017 ke tiga perkampung Orang Asli di Tasik Temenggor, Hutan Simpan Royal Belum, Perak, bermula hari ini hingga Ahad.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.