KUANTAN - Minuman keras yang dihidangkan pada majlis Pakatan Harapan di sebuah restoran tidak halal, di sini, kelmarin adalah di luar kawalan penganjur.

Penyelaras Harapan Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh bagaimanapun berkata, kejadian pada Majlis Kutipan Dana dan Memperkenalkan Penyelaras Parlimen Harapan itu sengaja diperbesarkan dan diputar belit pihak tertentu.

Menurutnya, minuman keras berkenaan sebenarnya tidak termasuk dalam menu majlis tetapi dipesan dan dibayar sendiri oleh tetamu bukan Islam yang hadir.

“Kita tak boleh nak halang atau sekat mereka untuk beli dan minum kerana majlis itu berlangsung dalam restoran tidak halal dan sememangnya ada menjual minuman keras.

“Sebab itu kita asingkan meja untuk tetamu dengan meletakkan bahagian halal di luar dan tidak halal di dalam restoran. Malah, kita juga turut mengambil kira tetamu vegetarian dengan menghidangkan makanan tersebut untuk mereka.,” katanya.

Penjelasan Fuziah melalui facebooknya berhubung tuduhan kononnya majlis kutipan dan dan memperkenalkan penyelaras Harapan dihidangkan minuman keras.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya mengambil kira sensitiviti berkenaan apabila hidangan makanan halal ditempah khas daripada pramusaji luar.

“Soal meja halal di luar dan tidak halal di dalam juga tidak timbul kerana pengasingan itu sebenarnya bagi memudahkan pihak restoran menyediakan makanan khususnya kepada tetamu bukan Islam.

“Jadi tidak timbul isu kita utamakan tetamu bukan Islam seperti yang dituduh pihak tertentu,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Fuziah berkata, pemilihan restoran itu dibuat selepas mengambil kira ruang yang diperlukan memandangkan tempahan meja diterima lebih daripada jangkaan.

“Bilangan tetamu lebih 2,000 tidak mampu ditampung restoran halal yang ada. Jadi kami ambil keputusan buat di situ dan asingkan meja bagi menjaga sensitiviti. Tapi nampaknya ada pihak sengaja mainkan isu ini sebagai modal politik untuk menghentam Harapan,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu sudah pun dijelaskan termasuk menerusi Facebook, namun isu itu terus rancak dimainkan dengan pelbagai tuduhan tidak berasas.

“Saya kesal dengan serangan seperti ini seolah-olah Harapan menggalakkan orang minum arak dengan menyediakan hidangan itu pada majlis," katanya.

Sebelum ini tular dalam laman sosial apabila foto memaparkan botol-botol arak di atas meja tetamu ketika berlangsung majlis berkenaan.