KUANTAN - Warga Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Pahang  hari ini menandatangani dan melafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai tanda komited agensi itu dalam membanteras gejala rasuah.

Timbalan Ketua Pengarah LPP Mohd Naser Harun berkata langkah itu bagi menyokong aspirasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menangani  rasuah serta salah guna kuasa dalam agensi kerajaan.

"Kita tidak mahu masalah rasuah ini terus menjadi barah dalam kalangan penjawat awam dan pelaksanaan IBR ini menunjukkan LPP sendiri komited membasmi hal ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani dan bacaan IBR oleh 100 petugas LPP Pahang terdiri daripada ketua kawasan dan unit LPP diketuai Pengarah LPP Pahang Sawalluddin Ahmad. Turut hadir Pengarah SPRM
Pahang Datuk Tan Kang Sai.

Mohd Naser menyarankan LPP negeri lain turut mengambil pendekatan sama dengan melaksanakan IBR bagi meningkatkan lagi imej agensi itu.

Selain itu, beliau turut mencadangkan kepada SPRM supaya menetapkan satu  prosedur operasi standard (SOP) bagi pengeluaran sijil IBR kepada organisasi yang telah melaksanakannya.

"Melalui sijil yang dikeluarkan oleh SPRM itu akan jadi sebagai satu pengiktirafan kepada jabatan berkenaan," katanya.

Sementara itu, Tan berkata Program IBR merupakan satu inisiatif pencegahan yang dilakukan berterusan oleh SPRM dengan kerjasama agensi dan jabatan kerajaan.

"Objektif program IBR ini adalah bagi mendapatkan komitmen daripada pimpinan organisasi dalam soal membanteras rasuah sekali gus dapat memastikan jabatan dan agensi berkenaan tidak terlibat dengan jenayah itu," katanya. –Bernama

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.