MARAN - Sebuah treler yang membawa muatan kimia jenis cecair terbabas lalu jatuh dan terbalik ke gaung sedalam enam meter di Kilometer 156 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Mat Rizal Mat Radzi, bagaimanapun mengesahkan cecair Fatty Alcohol Ethoxylates itu tidak berbahaya dan tiada tumpahan berlaku.

"Kejadian yang berlaku jam 9.30 pagi (semalam) hanya melibatkan treler tersebut yang dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lumpur. Apabila sampai di tempat kejadian, dipercayai tayar hadapan sebelah kiri telah pecah lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar pengadang jalan dan jatuh ke bawah bukit lalu terbalik.

"Bahan kimia yang dibawa tidak tumpah dan pihak bomba telah membuat pengesahan bahan kimia tersebut tidak berbahaya. Pemandu treler hanya mengalami luka kecil di dahi sahaja dan telah dirawat," katanya.

Beliau berkata, pihak polis dan bomba telah memantau kawasan tersebut sehingga selesai kerja mengalihkan lori.

"Tiada kawasan penempatan di situ dan bahan tersebut juga tidak memudaratkan. Pihak berkuasa membuat kawalan lalu lintas supaya tiada halangan ke atas kenderaan lain," katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Maran, yang juga Komander Operasi Kanan, Shamsul Effendy Sulaiman berkata, kemalangan tersebut mengakibatkan kebocoran pada tangki treler berkenaan.

Menurutnya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Maran (JBPM) telah mengejarkan anggota mereka ke lokasi kejadian pada jam 10.17 pagi.

"Jentera Maran dengan kekuatan lapan anggota turut dibantu Unit Hazmat, sebuah unit khas JBPM yang berkepakaran mengendalikan kes-kes bahan berbahaya, kimia atau beracun.

"JBPM melakukan pemantauan sehingga Unit Hazmat tiba. Mangsa yang terlibat telah diberikan bantuan awal dan seterusnya dihantar ke klinik rawatan Pekan Awah untuk rawatan selanjutnya. Laporan akan dikemas kini,' katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - Sebanyak 357 kemalangan dicatatkan berlaku di negeri ini sepanjang Op Selamat 11/2017 sehingga semalam sempena Hari Raya Aidilfitri diadakan bermula 18 Jun lalu.
  • KUALA LIPIS - Hasrat tujuh sekeluarga untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut Aidilfitri di Kelantan bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut dalam kejadian kemalangan kira-kira jam 11.30 pagi tadi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.